Wednesday, October 29, 2008

Kenyataan Akhbar: Pecat Liow

Mutakhir ini terdapat beberapa pihak yang seolah-olah sengaja bertindak untuk memprovokasi kesabaran Bumiputera dan mempertikaikan semangat Fasal 152 dan Fasal 153 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terbaru sekali, Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai, telah dilaporkan oleh pelbagai media perdana pada 28 Oktober 2008, sebagai telah meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.

Liow juga dipetik sebagai berkata pada 27 Oktober 2008, bahawa “ekuiti perlu dibuka, berikan kelonggaran agar sesebuah syarikat itu berdaya maju dalam menghadapi situasi ekonomi dunia yang semakin meruncing.”

PERKASA amat kesal dengan kenyataan di atas. Ia adalah satu tindakan ekstrim oleh pihak yang seolah-olah buta sejarah, sengaja cuba memprovokasi perasaan Bumiputera seluruhnya, dan dengan terang-terang mempertikaikan Fasal-Fasal tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu juga hanya mencerminkan ketidakbijaksaan dan kedangkalan minda segelintir barisan kepimpinan baru MCA dalam memahami serta menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan, terutamanya yang termaktub dalam Fasal 152 dan Fasal 153.

Oleh itu, PERKASA memberi amaran keras kepada pemimpin MCA terbabit dan pihak-pihak lain yang kini cuba menyemarakkan sentimen perkauman di kalangan rakyat Malaysia pelbagai keturunan, agama, budaya dan latarbelakang ekonomi, supaya jangan ulangi apa jua kenyataan atau tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan dan ketahanan nasional.

PERKASA juga mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memecatkan Liow daripada kabinet negara dengan seberapa segera. Mana-mana individu yang tergamak mempersoalkan semangat Fasal 152 dan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan tidak layak dan tidak boleh diizinkan berada dalam Jemaah Menteri Malaysia. Liow juga wajar dikenakan tindakan ini kerana beliau juga telah meminggirkan nasihat Majlis Raja-Raja Melayu mengenai kontrak sosial yang terkandung dalam satu kenyataan rasmi baru-baru ini.

Terima kasih.

Ruhanie Ahmad
Ketua Penerangan
PERKASA
29 Oktober 2008

Sunday, October 26, 2008

Perkasa mahu hak keistimewaan Melayu kekal

KOTA BHARU 25 Okt. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati terhadap cadangan untuk menghapuskan secara beransur-ansur elemen Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikhuatiri akan menjejaskan hak keistimewaan Melayu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, hak keistimewaan Melayu yang terkandung dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan adalah hak premium Melayu yang tetap tidak boleh disentuh walau dengan apa cara sekalipun.

"Meskipun alasan Melayu sudah mempunyai keyakinan diri bagi membolehkan unsur-unsur DEB dihapuskan, Perkasa tetap berpendirian bahawa Fasal 153 itu tidak boleh disentuh dan diusik serta tidak boleh ditolak ansur.

"Jika ia turut disentuh dan dilibatkan maka tindakan ini merupakan satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu. Saya nak ingatkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berhati-hati," katanya.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian ketika menghubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini untuk mengulas laporan Bernama yang memetik Najib sebagai berkata, unsur-unsur DEB, yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

Sumber: Utusan Malaysia

Thursday, October 23, 2008

Perkasa mohon bertemu Agong lebih awal

Utusan Malaysia, Okt 23 2008

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memohon untuk menyerahkan surat watikah taat setia dan sumpah ikrar kepada Yang di-Pertuan Agong seawal yang boleh, kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, penyerahan surat watikah itu adalah sebagai tanda sokongan Perkasa untuk mempertahankan apa jua yang terkandung dalam kenyataan akhbar khas Raja-raja Melayu berhubung orang Melayu, agama Islam dan Kaum Pribumi Malaysia.

''Seramai 10 pemimpin pertubuhan ini akan turut serta pada pertemuan itu,'' katanya selepas Majlis Pelancaran Laman Web dan Kempen Keahlian Perkasa di sini.

Ibrahim berkata, usaha itu adalah seiring dengan matlamat pertubuhan untuk memperkasa dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

''Berbeza dengan pertubuhan Melayu yang lain, kami menjuruskan kepada pertubuhan yang beroriantasikan tindakan dan akan mempertahankan apa saja hak orang Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata, pertubuhan itu akan lebih banyak mengambil langkah berbentuk pertemuan secara berhemah dan penuh disiplin dalam menangani isu-isu yang menggugat kedudukan orang Melayu dan pribumi termasuk Sabah dan Sarawak.

Pendaftar Pertubuhan meluluskan penubuhan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia pada 22 September lepas.

Pegawai utama Perkasa yang lain ialah Datuk Fuad Hassan (Timbalan Presiden), Datuk Shuaib Lazim (Naib Presiden), Datuk Yahya Lampong (Naib Presiden), Datuk Mokhtar Samad (Naib Presiden), Syed Hassan Syed Ali (Setiausaha), Muhammad Afiq Aziz (Penolong Setiausaha), Datuk Abdul Rahman Bakar (Bendahari) dan Datuk Ruhanie Ahmad (Ketua Penerangan).

Sementara itu, ahli kehormat Perkasa, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail menggesa orang Melayu dan bumiputera di negara ini yang berlainan fahaman politik digesa bersatu.

Beliau yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera berkata, langkah itu perlu bagi melindungi hak-hak mereka yang terkandung dalam Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim Ali mengenai PERKASA


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) ditubuhkan sebagai reaksi daripada keadaan sosio-politik Negara yang tidak menentu selepas pilihanraya Mac 2008. Banyak perkara-perkara dasar yang menyentuh hak-hak masyarakat teras atau pribumi seperti Agama Islam dan peranan Raja-Raja Melayu serta perkara-perkara penting yang terkandung dalam perlembagaan 153 telah secara berani dipertikai dan dipersoalkan secara terbuka, rakus, dan tidak ilmiah samada oleh bangsa Melayu sendiri apatah lagi yang bukan Melayu.

Parti-parti politik Melayu dan badan-badan bukan kerajaan yang sepatutnya tampil melindungi hak-hak berkenaan, bersifat dingin, akibat takut dilebal “racist” oleh pelaku-pelaku yang bermain politik dengan menagih simpati pengundi-pengundi bukan Melayu untuk tujuan kekuasaan. Akibatnya, dasar-dasar asasi kaum peribumi ini secara berani mulai dijualbeli, dipersoal, dicabar kehingga ke persoalan kesahihan usul pribumi itu sendiri.

PERKASA tidak perlu apologetik dan defensif dalam perjuangan hak pribumi kerana ianya adalah suatu hakikat dan kesahihan sejarah. Ini dapat dilihat dari pengorbanan bangsa dan Raja-Raja Melayu, peranan anggota pasukan keselamatan, persetujuan bersama kaum berdasarkan prinsip “quid pro quo”, dan rekod kestabilan Negara seperti yang terbukti lebih daripada 50 tahun kemerdekaan Negara.

Dipetik dari kata-kata aluan Dato Ibrahim Ali dilaman web Perkasa

Wednesday, October 22, 2008

Melayu, bumiputera perlu bersatu

Utusan Malaysia, Okt 22hb 2008

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Orang Melayu dan bumiputera di negara ini yang berlainan fahaman politik digesa bersatu melindungi hak-hak mereka yang terkandung di dalam Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

Gesaan itu disampaikan oleh bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail pada majlis perasmian laman web Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Tun Ibrahim merupakan ahli kehormat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, saranan Tun Ibrahim itu perlu dipandang serius, selari perkembangan terkini politik tanah air dengan pelbagai pihak mempersoalkan hak ketuanan Melayu dan bumiputera.

‘‘Pandangan beliau penting kerana beberapa pertubuhan seperti Hindraf bagi kaum India dan Dong Jiao Zong serta Suqiu untuk kaum Cina menuntut dan memperjuangkan hak masing-masing.

‘‘Justeru, Perkasa yang ditubuhkan September lalu berjuang untuk kaum Melayu dan bumiputera pula agar hak- hak dalam Perlembagaan Persekutuan dipelihara, seterusnya memastikan keharmonian negara.

“Tetapi, apa yang perlu saya tekankan ialah Perkasa bukannya pertubuhan yang bersifat perkauman dan saya harap ia difahami dan diterima semua pihak,” katanya.

Kini PERKASA untuk Melayu

Kalau orang Cina ada Dong Jiao Zong, Hindraf untuk orang India… kini PERKASA untuk Melayu

Sebelum ada pihak memperleceh usahanya, Datuk Ibrahim Ali awal-awal lagi beri kata dua mengenai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang baru ditubuhkan serta diketuai beliau.

Katanya, PERKASA yang akan memperjuangan hak orang Melayu dan pribumi negara ini bukan retorik politik dan beliau bersedia dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekiranya pertubuhan itu dilihat boleh mencetuskan kebimbangan kaum lain.

“Sudah ada banyak dan macam-macam NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Melayu…tetapi ini (PERKASA) bukan retorik politik dan saya sudah sedia kena ISA,” kata Ahli Parlimen bebas Pasir Mas itu.

Bercakap kepada media selepas pelancaran laman web PERKASA oleh Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Bharu Kuala Lumpur, Selasa, Ibrahim macam tidak hairan lagi soal ISA jika kewujudan pertubuhan itu dilihat seperti mahu mengekang kegiatan Hindraf.

“Saya dah dua kali kena ISA. Kena lagi dapat Phd lah,” katanya.

Menurut Ibrahim, PERKASA akan menjadi payung kepada pelbagai NGO Melayu bagi memperjuangkan hak serta kepentingan Melayu dan pribumi di negara ini termasuk kaum di Sabah dan Sarawak.

Sebab lain ujudnya pertubuhan itu katanya kerana ada pertubuhan Dong Jiao Zong dalam masyarakat Cina manakala Hindraf dalam India dan kini PERKASA untuk Melayu.

“Apa salahnya,” tanya beliau.

Katanya, PERKASA bukan hendak bersaing dengan kaum-kaum lain tetapi bertujuan mempertahan apa yang ada dalam Perlembangaan terutama Fasal 15.2 dan 15,3.

Menurut beliau, pertubuhan itu terbuka kepada semua orang Melayu dan pribumi berusia 18 tahun ke atas serta melampaui idealogi.

“Kalau kita gerak bawah parti susah. Biarlah dengan NGO. UMNO, PAS dan saya (Bebas) boleh sama-sama berjuang untuk kepentingan Melayu. Masa pilihan raya, tak apalah kita berlawan tapi demi Melayu, kita mesti bersatu,” katanya.

PERKASA katanya, akan memperkasakan Islam, Melayu, Raja-Raja, hak istimewa orang Melayu dan perpaduan kaum.

Tagline pertubuhan itu antaranya adalah ‘perpaduan pribumi tunggak perpaduan negara’.

“Kita juga akan bergerak dengan berhemah, bijaksana dan berdisplin,” tegasnya.

PERKASA kini sudah mempunyai lebih 2,000 ahli termasuk golongan profesional, pertubuhan silat dan angkanya dijangka bertambah dengan pelancaran laman webnya yang boleh dilayari melalui http://pribumiperkasa.org/.

Pada sidang media itu Ibrahim menolak cakap-cakap bahawa PERKASA diasaskan oleh pemimpin yang kecewa dan gagal dalam perjuangan politik.

Malah timbalan beliau, Datuk Fuad Hassan yang hadir sama mencelah, beliau tidak gagal dalam politik malah terpilih dalam mesyuarat pewakilan UMNO Bahagian Gombak baru-baru ini.

Menurut Ibrahim, pertubuhan itu sedang menunggu perkenan Yang diPertua Agung untuk menghadap bagi menyembah watikah taat setia menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Otober lalu.

Pelancaran rasmi PESAKA dijangka dibuat tidak lama lagi dan antara aktivitinya kelak menganjurkan seminar, bengkel sarta forum berkaitan kepentingan orang Melayu.

Lebih menarik, pejuang Melayu, Tun Ibrahim, 86, ketika melancarkan laman web itu berpesan ‘ Bersatulah Melayu’. Dan pekikan Hidup Melayu menghangatkan majlis dihadiri lebih 200 tetamu termasuk pemimpin NGO serta ahli parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz dan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn.- Agendadaily 21/10/2008

Undangan ke Pelancaran Web Perkasa

Dengan takzimnya kami mempersilakan seluruh pribumi Malaysia ke majlis pelancaran lamanweb Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) oleh Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail, di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada jam 4.00 petang hari ini (21 Oktober 2008).

PERKASA adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar. Matlamat utamanya adalah memperkasa dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Fasal 152 dan Fasal 153.

Secara khususnya, tujuan dan perjuangan PERKASA adalah bermatlamat:

Memperkasakan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan.
Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Memperkasakan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Mempertahankan hak-hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera.
Memperkasakan kaum Pribumi.
Menyatupadukan kaum Pribumi dan perpaduan rakyat Malaysia.
Mempertahankan kedaulatan negara.

Menurut Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, pertubuhan ini diwujudkan “bagi mempertahankan apa saja hak orang Melayu yang tertera dalam Perlembagaan Malaysia supaya tidak mudah dipertikaikan sewenang-wenangnya.”

Lain-lain pegawai utama PERKASA adalah Datuk Fuad Hassan (Timbalan Presiden), Datuk Shuaib Lazim (Naib Presiden), Datuk Yahya Lampong (Naib Presiden), Datuk Mokhtar Samad (Naib Presiden), Syed Hassan Syed Ali (Setiausaha), Muhammad Afiq Aziz (Penolong Setiausaha) Datuk Abdul Rahman Bakar (Bendahari), dan Datuk Ruhanie Ahmad (Ketua Penerangan).

Maklumat penuh PERKASA boleh di akses di http://pribumiperkasa.org/. Borang keahlian secara on-line juga boleh diperolehi menerusi lamanweb ini.

PERKASA mengalu-alukan keahlian pribumi daripada seluruh negara. PERKASA akan mewujudkan cawangannya di setiap negeri dalam tempoh terdekat ini.

Salam perjuangan – Ruhanie Ahmad, Ketua Penerangan PERKASA

Saturday, October 18, 2008

Pandangan paling tegas

Utusan Malaysia Okt 18, 2008

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini berkata, kenyataan akhbar khas Raja-Raja Melayu semalam merupakan pandangan paling jelas dan tegas serta berasaskan sejarah penglibatan dan persetujuan Raja-Raja Melayu dalam kompromi perjuangan negara mencapai kemerdekaan.

Pada sidang akhbarnya di sini hari ini, Timbalan Pengerusi Penajanya Datuk Fuad Hassan berkata kenyataan itu merupakan pendirian paling tegas Raja- Raja Melayu.

"Perkasa berikrar dan bersumpah untuk berdiri teguh mempertahankan kenyataan akhbar khas itu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja- Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya. - Bernama

Kenyataan Media: Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja Melayu ke - 215

1. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berikrar dan bersumpah untuk berdiri teguh bagi mempertahankan kenyataan khas Majlis Raja-Raja Melayu ke 215 berhubung dengan hak-hak kkeistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perlembagaan persekutuan.

2. PERKASA berpendapat bahawa pendirian tersebut merupakan pandangan yang paling jelas dan tegas serta berasaskan sejarah penglibatan dan persetujuan Raja-Raja Melayu dalam kompromi perjuangan Negara mencapai kemerdekaan. Inilah merupakan pendirian yang paling tegas dalam sejarah Persidangan Raja-Raja Melayu. PERKASA menjunjung kasih di atas penegasan tersebut dan amat terharu di atas rasa prihatian Raja-Raja Melayu berasaskan perkembangan-perkembangan sosio-politik mutakhir.

3. Pendirian PERKASA sesuai dengan matlamat fasal 4 penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia yang didaftarkan oleh pendaftar pertubuhan pada 12 haribulan September 2008, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bagi:

1. Memperkasakan Islam Sebagai Agama Persekutuan
2. Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
3. Memperkasakan Kedaulatan Raja-Raja Melayu
4. Mempertahankan hak-hak keistimewaan Orang Melayu
5. Memperkasakan kaum Pribumi
6. Menyatupadukan kaum Pribumi dan perpaduan rakyat Malaysia
7. Mempertahankan kedaulatan Negara.

4. PERKASA mengesa agar semua orang-orang Melayu yang berada di semua lapangan; politik kepartaian, badan bukan kerajaan, badan iktisas, dan individu-individu Melayu agar menyatakan sokongan padu terhadap pendirian tertinggi bangsa Melayu yang merupakan teras persefahaman dan rujukan bagi perpaduan bangsa. Masyarakat Melayu harus bersatu dan tidak harus bersikap “partisan” apabila menyentuh perkara-perkara dasar seperti kepentingan bangsa dan agama Islam dan perlembagaan 153.

5. Harus diingatkan bahawa kestabilan yang dinikmati oleh Negara lebih dari 50 tahun yang lalu adalah hasil dari permuafakatan “social contract” para pejuang kemerdekaan antara kaum, penggunaan dan penyaluran sistem demokrasi dengan wajar, pengorbanan para pasukan keselamatan serta kompromi kaum dan Raja-Raja Melayu di atas paksaan penjajahan. Sejarah ini tidak mungkin dihapuskan lantaran suasana corak politik yang berubah. Kita seharusnya bersyukur, kerana di atas toleransi dan persefahaman inilah maka Malaysia terhindar dari kekacauan yang dahsyat seperti yang berlaku di Negara-negara jiran atau rantau yang lain.

6. Provokasi-provokasi politik dan agama dan keadaan ketidaktentuan politik Negara yang berpanjangan semenjak dari sebelum dan sesudah pilihanraya Mac 2008, telah memberikan isyarat yang salah terhadap pelabur dan pembuat keputusan dalam dan luar Negara, di saat tumpuan semua harus diberikan terhadap mempercekapkan pengurusan Negara dalam menghadapi krisis ekonomi dunia dan meningkatkan mertabat bangsa.

7. Sewajarnya, parti politik yang belum mempunyai cukup majoriti untuk menjadi Perdana Menteri, haruslah berbuat demikian dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Ini penting agar tempoh beberapa tahun yang akan datang di terajui oleh suasana stabil bagi kerja-kerja membangunkan Negara seperti janji manifesto pilihanraya parti masing-masing. PERKASA mengesa agar orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia lainnya, berperanan mengekalkan kestabilan dan keamanan sebagai tanggungjawab bersama.

8. Perbincangan mengenai perkara-perkara sensitif negara haruslah dalam suasana muafakat, ilmiah dan kondusif oleh pakar-pakar dari kaum dan agama berbeda yang mempunyai pengetahuan mendalam terhadap sejarah pengorbanan, tolak ansur, serta perjuangan pasukan keselamatan bagi mencapai kemerdekaan.

9. Faham liberalisasi dan kebebasan mutlak yang di ambil Barat dalam membicarakan perkara-perkara sensitif tidak akan mengangkat kemuliaan sesuatu bangsa sekiranya ia berakhir dengan kebencian dan ketegangan yang akhirnya mengujudkan suasana anarki. Musyawarah sesama kaum dan agama serta menghormati perbedaan adalah intipati penyelesaian

10.PERKASA kesal kerana terdapat segelintir bloggers dan forumers yang telah menghina dan menggunakan bahasa-bahasa “kebinatangan” terhadap Raja-Raja Melayu, semata-mata kerana baginda mengingatkan tentang kepentingan perpaduan Melayu dan hak mempertahankan perlembagaan 153. Siapakah yang bertanggung jawab sehingga forumers ini begitu berani mengeluarkan bahasa-bahasa yang demikian atas nama kebebasan bersuara dan hak-hak rakyat. Usah kita membiarkan Raja-Raja Melayu bersendirian dan dianggap “racist” dalam mempertahankan saki-baki hak-hak bangsa akibat kelemahan, perpecahan dan percakaran antara sesama bangsa Melayu akibat perbedaan politik.

11.Seringkali kita menyalahkan penjajahan yang mencorakkan suasana sosio-politik dan struktur ekonomi kita sekarang. Maka yang demikian, mengapa harus kita mengulangi kesilapan dengan meciplak faham kebebasan mutlak sehingga membawa kepada purak puranda dan ketegangan masyarakat. Seharusnya faham kebebasan dan hak asasi disertai bersama dengan kewajiban dan pertanggungjawaban bersama terhadap menjamin kestabilan Negara.

12.PERKASA mengesa kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif yang telah disepakati, bagi tujuan kepentingan politik dan kumpulan. Adalah penting bagi yang berkuasa untuk menjaga kepentingan rakyat terbanyak daripada individu-indivdu atau kumpulan yang membuat kekacauan di luar batas yang diperuntukan perlembagaan negara.

13.Sehubungan dengan ini, PERKASA menyokong penuh tindakan kerajaan mengistiharkan HINDRAF sebagai pertubuhan haram. HINDRAF telah membuat fitnah yang jahat terhadap Negara dengan menuduh berlakunya pembersihan ethnik terhadap kaum minoriti India serta pemusnahan rumah ibadat hindu setiap 3 minggu di Malaysia. HINDRAF juga menuduh bahawa Negara Malaysia mempunyai dasar untuk membunuh seorang kaum India setiap minggu seperti yang terbukti dalam suratnya kepada Perdana Menteri Britain, Gordan Brown, pada 15 November 2007 yang lalu. Ratusan demonstrasi jalanan dan penggunaan bahasa yang kesat dan biadap telah digunakan terhadap pasukan keselamatan dan pemimpin kaum Melayu.

14.Perkauman melampau HINDRAF telah digunakan oleh parti politik tertentu untuk tujuan politik sempit mereka tanpa mengambilkira penipuan yang dilakukan. Hakikatnya adalah, semakin ramai kaum India dan kaum-kaum lainnya yang berhijrah ke Negara ini disebabkan ruang kebebasan yang mereka kecapi melalui peluang mencari rezeki dan mengaut kekayaan, kebebasan beragama dan rumah beribadat serta patung berhala paling tinggi di tanah yang mendapat kebenaran. Kebebasan dan nikmat bagaimana lagi yang dikehendaki dan tidak di syukuri?.

15. Kami juga mengumumkan bahawa Presiden dan Ahli jawatankuasa penaja Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia akan menyerah watikah ikrar taat setia dan sumpah sokongan terhadap kenyataan khas Persidangan Raja-Raja Melayu, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, yang mewakili Raja-Raja Melayu, pada hari rabu, 22 haribulan Oktober 2008, jam 3 petang, di Istana Negara.

Yang Benar,

Dato’ Fuad Hassan
Timbalan Pengerusi Penaja
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
17 Oktober 2008
Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur

Friday, October 17, 2008

Perkasa Sifatkan Kenyataan Akhbar Khas Raja-raja Melayu Sebagai Tegas

17 Oktober, 2008 21:53 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata kenyataan akhbar khas Raja-Raja Melayu semalam merupakan pandangan paling jelas dan tegas serta berasaskan sejarah penglibatan dan persetujuan Raja-Raja Melayu dalam kompromi perjuangan negara mencapai kemerdekaan.

Pada sidang akhbarnya di sini hari ini, Timbalan Pengerusi Penajanya Datuk Fuad Hassan berkata kenyataan itu merupakan pendirian paling tegas Raja-Raja Melayu.

"Perkasa berikrar dan bersumpah untuk berdiri teguh mempertahankan kenyataan akhbar khas itu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurutnya pertubuhan bukan kerajaan yang didaftarkan bulan lepas itu akan menyerah watikah ikrar setia dan sumpah sokongan terhadap kenyataan akhbar khas itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 22 Okt ini.

Sambil mengingatkan bahawa kestabilan yang dinikmati oleh negara lebih 50 tahun lalu adalah hasil permuafakatan kontrak sosial, Perkasa juga mahu orang Melayu dan rakyat Malaysia yang lain memainkan peranan mengekalkan kestabilan dan keamanan sebagai tanggungjawab bersama.

Fuad berkata provokasi politik dan agama serta ketidaktentuan politik negara sejak pilihan raya umum Mac lepas telah memberikan isyarat yang salah terhadap pelabur dan para pembuat keputusan dalam dan luar negara di saat tumpuan harus diberikan dalam menghadapi krisis ekonomi dunia.

Sambil menyokong penuh tindakan pengharaman ke atas Hindraf, Fuad berkata Perkasa mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu sensitif bagi kepentingan politik dan kumpulan.

"Perbincangan mengenai perkara sensitif negara haruslah dalam suasana muafakat, ilmiah dan sesuai dan oleh pakar-pakar dari kaum dan agama berbeza yang mempunyai pengetahuan mendalam terhadap sejarah pengorbanan dan tolak ansur di negara ini," katanya.

Menurutnya pandangan Perkasa adalah diluar kepartian dan matlamatnya antara lain bagi memperkasa Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, memperkasa kaum pribumi dan kedaulatan raja-raja serta mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.

Mengenai kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai hari ini yang mahu satu jawatan timbalan pengerusi Barisan Nasional untuk parti itu, Fuad mempersoalkan mengapa timbul tuntutan itu pada masa ini.

Monday, October 6, 2008

Ibrahim Ali warned Hindraf

NST Online, 2008/10/05

Hadi: Hindraf action a democratic right

By : Sean Augustin and Sharifah Mahsinah Abdullah

KUALA TERENGGANU: The Pas chief said the action by the the Hindu Rights Action Force (Hindraf) at the prime minister's and cabinet's Hari Raya open house on Wednesday was part and parcel of democracy.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang said it signalled a change in the democratic practices in the country that should be viewed positively.

"I don't think it was rude. That's democracy. In the United States, people demonstrate in front of the White House. It's not like they caused a commotion or started fighting," he said after the party's Hari Raya gathering at the Tarbiyyah headquarters yesterday.

In the incident on the first day of Hari Raya, Hindraf supporters went to the open house at the Putra World Trade Centre and presented a card to Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi asking him to release the organisation's leaders detained under the Internal Security Act.

The card was delivered by Vwaishnnavi, the 5-year-old daughter of Hindraf leader in exile, P. Waythamoorthy. The group was led by Waythamoorthy's wife, K. Shanti.


About 20 bloggers also turned up at the open house, wearing T-shirts bearing the slogans "No to ISA" and "Free RPK", referring to the two-year detention order on Malaysia Today editor Raja Petra Kamaruddin.

Both groups told journalists their sole intention was to send a message to Abdullah. They have been condemned for being "intimidating, disrespectful and inappropriate", with Unity, Culture, Arts and Heritage Minister Datuk Shafie Apdal saying he would raise the matter in cabinet.

In Pasir Mas, independent MP Datuk Ibrahim Ali called on political parties and non-governmental organisations to stop pressuring the government to release the Hindraf leaders.

He said MIC president Datuk Seri S. Samy Vellu and Hindraf should not get involved and let the government do its job.

"If the detainees are released following political interference, it will confirm allegations the ISA was being misused. Samy Vellu was a minister and he should know that the ISA is under the minister of home affairs. Even the prime minister cannot interfere."

Ibrahim was speaking at his Hari Raya open house at the Pasir Mas district hall. More than 5,000 constituents attended the event.

He warned that if Hindraf and other NGOs do not stop the pressure, he would use the Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), which he heads, to counter their action.

"If these parties continue, we will organise a demonstration to show our displeasure. We are ready to fight off any interference in the administration of the country."

Friday, October 3, 2008

Hindraf keterlaluan

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam mengutuk keras dan menyifatkan perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet Islam sebagai keterlaluan, biadap dan menghina kesucian 1 Syawal.

Sambil membayangkan tindakan pertubuhan haram itu didalangi individu tertentu dengan tujuan menghancurkan perpaduan negara, mereka meminta kerajaan bertegas dan tidak melayan tekanan daripada kumpulan yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati kerajaan.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, perbuatan kumpulan berkenaan adalah menghina perayaan besar umat Islam, tidak bertamadun dan tidak bertanggungjawab.

Beliau mempersoalkan tujuan mereka menimbulkan kekecohan dalam suasana Perdana Menteri dan rakyat jelata meraikan 1 Syawal, seolah-olah cuba memberi gambaran negatif bahawa mereka langsung tidak mendapat peluang bertemu Perdana Menteri pada hari lain.

Katanya, insiden itu dikhuatiri didalangi pihak-pihak tertentu dengan mempergunakan suasana perayaan dan kehadiran wakil kedutaan asing untuk mengganggu serta memberi imej buruk kepada negara luar.

Beliau berkata, kejadian itu bukan menunjukkan perjuangan tulen tetapi mengambil kesempatan merosakkan imej negara selain memberi gambaran seolah-olah Malaysia tidak mengamalkan budaya tolak-ansur.

“GPMS meminta kerajaan supaya jangan melayan mereka kerana Hindraf bukan pertubuhan sah. Mereka patut dikenakan tindakan, tidak kisah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau undang-undang lain.

“Biar ia menjadi pengajaran. Tidak pernah berlaku insiden sebegini dalam sejarah 50 tahun kita merdeka. Ini perbuatan berani tidak bertempat dan dipengaruhi demonstrasi jalanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi. Walaupun timbul kekecohan, mereka dibenarkan memasuki dewan atas semangat hari raya.

Menurut saksi, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengah hari untuk menyerahkan patung beruang dan kad hari raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA.

Sementara itu, The Star Online memetik kenyataan K. Shanti, isteri kepada Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy bahawa isi kandungan kad raya yang diserahkan meminta Perdana Menteri membebaskan beberapa pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA.

“Mesej kami ialah kami mahukan hero-hero kami dibebaskan. Ini adalah rumah terbuka dan kami boleh datang, jika kami mahu. Semasa hari raya ini, kita sepatutnya bermaaf-maafan.

“Jadi, kami memaafkan dosa-dosa UMNO terhadap komuniti India. Kami hanya mahu tahanan Hindraf dibebaskan,” kata Shanti.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kumpulan itu mengambil peluang suasana rumah terbuka untuk menonjolkan isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara lain.

Katanya, perbuatan itu tidak kena pada masanya iaitu ketika sambutan Aidilfitri bagi meraikan kemenangan umat Islam menjalani ibadat puasa dan merapatkan hubungan sesama rakyat.

“Mereka tidak menghormati orang Islam yang merayakan Aidilfitri,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, perbuatan penyokong Hindraf itu sepatutnya membuka mata rakyat tentang siapa sebenarnya kumpulan yang disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Kita selalu memikirkan orang lain dan tidak mengambil kira perasaan sendiri. Mereka sudah melampau dan tidak prihatin kepada suasana 1 Syawal yang menjadi perayaan besar umat Islam,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Pribumi Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Hindraf adalah pertubuhan haram yang semakin mencabar undang-undang serta nampak bersedia menimbulkan kekecohan tanpa mengira tempat dan keadaan.

Katanya, Hindraf langsung tidak mempedulikan dan menghormati perayaan besar umat Islam menyambut 1 Syawal.

Timbalan Presiden MBM, Datuk Idris Haron pula menganggap Hindraf dan pihak yang mendalangi kumpulan itu sebagai pengkhianat kepada perpaduan kaum di Malaysia.

Beliau yang juga Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) berkata, perbuatan mereka cuba menguji kesabaran orang Melayu dan kerajaan serta berniat mahu menghancurkan negara dan perpaduan yang dibina lebih 50 tahun lalu.

“Kita perlu siasat siapa dalang mereka dan beri peringatan keras supaya mereka tidak terus mencuba mencetuskan ketidakseimbangan sosial negara” tegasnya.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Helmi Ismail pula berkata, perbuatan kira-kira 1,000 anggota kumpulan itu langsung tidak kena pada tempatnya dan keterlaluan kerana mengganggu majlis rasmi yang dianjurkan oleh pemimpin kanan negara.

Katanya, selain itu, tindakan kumpulan itu yang sering menggunakan kanak-kanak sebagai barisan hadapan setiap kali demonstrasi diadakan adalah tindakan pengecut.