Friday, March 6, 2009

Isytihar darurat di Perak – Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR 4 Mac – Isytihar saja darurat di Perak!

Demikian saranan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengisytiharkan darurat di Perak kerana keadaan semakin tidak menentu kebelakangan ini.

Menurut Ibrahim, tindakan pakatan pembangkang memprovokasi dan mengkucar-kacirkan keadaan sudah sampai kepada keperluan mengisytiharkan darurat di negeri itu.

Beliau berkata, tindakan pakatan pembangkang seolah-olah mencari simpati tetapi menyerlahkan lagi kebodohan mereka tentang undang-undang.

“Keadaan semakin bercelaru dan jika tiada sebarang tindakan paling tegas diambil maka hari-hari kita akan dimomokkan dengan cerita-cerita sebegini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pakatan pembangkang di Perak yang terus menerus menimbulkan kekecohan dan kekacauan di negeri itu.

Menurut Ibrahim, kerajaan perlu bertindak tegas terhadap kumpulan yang menimbulkan kekacauan kerana ia menjejaskan imej negara di mata dunia.

Dengan teknologi sekarang, katanya, apa saja berlaku ia disebarkan melalui Internet sekali gus menggambarkan keadaan negara dalam keadaan tidak stabil.

“Susah untuk kita puaskan hati semua orang, apa yang perlu kita lakukan ketika ini ialah hormat dan patuh kepada undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, tindakan pakatan pembangkang itu cuba menimbulkan huru-hara selepas mendapati mereka tiada lagi jalan untuk merampas semula kerajaan negeri.

Katanya, orang ramai akan terus bersimpati dan sanggup melanggar undang-undang kononnya untuk memberi sokongan kepada mereka.

“Tindakan mereka (pakatan pembangkang) terlalu biadap dan kurang ajar lebih-lebih lagi terhadap Sultan Perak dan undang-undang, tindakan tegas perlu diambil terhadap pengacau-pengacau ini,” katanya.

Muhammad percaya strategi pakatan pembangkang ketika ini ialah cuba memanipulasi keadaan agar rakyat terus menyokong dan menyasarkan tiga pilihan raya kecil untuk kepentingan politik mereka.

Katanya, rakyat Perak khususnya perlu sedar bahawa pakatan pembangkang sudah tidak lagi berkuasa dan perlu kembali kepada peraturan dan undang-undang sebagaimana diakui oleh Sultan Perak.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment