Sunday, March 8, 2009

Undang-undang lindungi raja

KUALA LUMPUR 7 Mac – Satu undang-undang bagi melindungi kehormatan raja-raja atau Leste Majeste perlu diperkenalkan di negara ini sebagaimana diamalkan di beberapa negara termasuk Thailand.

Ia bagi mengelakkan imej raja-raja Melayu terus dipersenda secara meluas dan terbuka menerusi pelbagai medium termasuk laman blog.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Samsuddin berkata, pengenalan undang-undang itu merupakan langkah terbaik bagi melindungi imej raja- raja Melayu di negara ini pada masa akan datang.

“Kita tidak boleh membenarkan mana-mana individu atau pihak menghina institusi raja berperlembagaan di negara kita, oleh demikian satu undang-undang khusus perlu dilaksanakan.

“Tindakan menghina raja-raja Melayu yang semakin kerap sejak kebelakangan ini perlu dihalang daripada berterusan.

“Justeru, saya mencadangkan agar undang-undang yang dikenali sebagai Leste Majeste atau undang-undang untuk melindungi kehormatan raja-raja diperkenalkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dukacita dengan sikap sesetengah orang Melayu yang terus mempersoalkan kedudukan raja-raja dan bangsa Melayu sendiri.

Baginda juga menyifatkan golongan tersebut sebagai biadab, tidak berbudi bahasa dan tidak ada perasaan malu kerana mempertikaikan perkara berkaitan kedudukan raja- raja dan hak orang Melayu secara terbuka.

Shahaniza menjelaskan, undang- undang untuk melindungi kehormatan raja-raja bukan sesuatu yang baru tetapi sudah diwujudkan di negara seperti Brunei, Sepanyol dan Belanda.

“Contohnya, mengikut Artikel 112 undang-undang Kod Tatajenayah Thailand, mana-mana individu yang didapati menghina raja negara itu boleh dipenjarakan antara tiga hingga 15 tahun,” katanya yang juga seorang peguam.

Jelas beliau, jika undang-undang itu gagal diwujudkan, dikhuatiri imej raja-raja Melayu boleh diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak sahaja sehingga akhirnya memusnahkan institusi tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyokong cadangan Pergerakan Puteri UMNO itu sebagai menepati senario semasa.

“Akta Hasutan sahaja tidak memadai untuk digunakan terutama dalam situasi sekarang,’’ katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) pula berharap undang-undang khusus itu mampu melindungi kehormatan raja-raja Melayu dalam jangka panjang.

Presidennya, Jamaluddin Yusoff berkata, ketiadaan undang-undang khusus merupakan penyebab utama banyak pihak kini hilang hormat kepada institusi raja di negara ini.

“Tidak ada salahnya jika Malaysia mahu mewujudkan undang-undang seperti ini, banyak negara di dunia mempunyai undang-undang yang sama dan ini meningkatkan tahap kedaulatan raja mereka di mata rakyat,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment