Utusan Malaysia Disember 20, 2008
KOTA BHARU 19 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menentang sekeras-kerasnya hasrat konglomerat Sime Darby Berhad (Sime Darby) untuk membeli kepentingan dalam Institut Jantung Negara (IJN) demi menjaga kepentingan asas rakyat dari segi kos rawatan kesihatan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, pengambil alihan kepentingan institut perubatan tersebut tidak menjamin golongan miskin untuk mendapatkan rawatan dengan kos yang rendah.
Beliau turut mencadangkan supaya Sime Darby menubuhkan sendiri pusat pembedahan jantung dan bukannya mengambil alih IJN yang dibina khusus untuk kemudahan rakyat.
"Walaupun Sime Darby ambil alih 51 peratus saham, ia merupakan pegangan majoriti dan bila swasta ambil alih pasti ia akan diniagakan yang akan menyebabkan rakyat mengalami kerugian kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi.
"Pembedahan jantung amat kritikal demi kepentingan rakyat, jika Sime Darby berminat boleh tubuh pusat jantung sendiri. Kenapa perlu ceroboh IJN yang kerajaan sudah belanja begitu banyak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat Sime Darby untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN Holdings Sdn. Bhd. yang kini dimiliki oleh Kementerian Kewangan.
Semalam, syarikat tersebut mengesahkan telah mendapat persetujuan daripada Unit Perancangan Ekonomi bagi mengkaji kemungkinan pengambilalihan itu.
IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., milik penuh Kementerian Kewangan.
Sehubungan itu, Ibrahim menggesa kerajaan agar tidak menswastakan pusat perubatan berkenaan demi kemudahan rakyat terutama bagi golongan miskin.
"Saya gesa kerajaan jangan buat rakyat terus marah dan saya percaya jika perkara ini dibawa ke Dewan Rakyat tidak ada seorang Ahli Parlimen yang akan bersetuju.
"Kepentingan rakyat secara menyeluruh perlu dilihat dengan teliti, jangan buat keputusan secara membuta tuli kerana jika ia diswastakan saya pasti kos perubatan di IJN akan melambung tinggi," katanya.
PANDANGAN IKHLAS & BENAR
10 years ago
No comments:
Post a Comment