Sunday, December 14, 2008

Perkasa sokong sekolah satu aliran

KOTA BHARU 13 Dis. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong cadangan Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim spaya diwujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, saranan yang dikemukakan oleh tokoh sejarah itu dianggap berani dan tepat pada masanya demi melahirkan generasi beridentitikan Malaysia.

‘‘Perkasa menyokong kenyataan Kay Kim kerana perubahan sistem sekarang kepada sistem sekolah satu aliran dijangka mampu mewujudkan integrasi nasional yang lebih berkesan bagi jangka masa panjang.

‘‘Sistem yang ada sekarang memerlukan transformasi kerana terdapat pelajar yang tidak fasih menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

‘‘Melalui bahasa juga perpaduan dapat dicapai, merapatkan hubungan antara pelbagai kaum yang ada di negara ini malah rakyat berbangga kerana mempunyai satu bahasa yang mencerminkan imej negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika mengulas cadangan Kay Kim dalam akhbar China Press kelmarin, supaya negara ini mewujudkan sistem sekolah satu aliran.

Ibrahim menambah, sistem yang ada sekarang juga mengelirukan pelajar berkomunikasi terutama apabila melanjutkan pelajaran ke luar negara.

‘‘Situasi tersebut mengundang persoalan di kalangan warga asing dan mungkin berpendapat pelajar negara ini tidak mempunyai identiti Malaysia malah mungkin menyangka mereka dari negara Cina, Hong Kong atau dari India,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment