Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa orang Melayu di Perak yang mempunyai tanah berstatus pajakan 99 tahun agar menuntut kepada kerajaan negeri itu untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka untuk 999 tahun.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu wajar dilakukan seperti mana pengurniaan hak milik kekal oleh kerajaan kepada penduduk kampung baru.
Tegas beliau, hak yang sama perlu diberikan kepada orang Melayu di negeri tersebut dan kerajaan pakatan pembangkang wajar melakukannya dengan adil tanpa mengira kaum.
Menurutnya, orang Melayu harus sedar tanpa tanah, nasib mereka tidak ubah seperti rakyat Palestin yang hilang negeri kepada rejim Zionis.
"Oleh itu, Perkasa menggesa orang Melayu di Perak memohon supaya tanah masing-masing dilanjutkan kepada 999 tahun, 'sediakan payung sebelum hujan' jangan pula nasib yang menimpa kepada rakyat Palestin akan berulang di negeri ini.
"Orang Melayu harus sedar tanpa tanah, hilang tanah maka hilang negeri seperti rakyat Palestin hilang negeri kepada Zionis," tegasnya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 30 Disember lalu, kerajaan Perak telah memberikan hak milik tanah kekal selama 999 tahun kepada 11 penduduk kampung baru di Kampung Kuala Rui, Gerik walaupun diarah menangguhkannya sehingga Majlis Tanah Negara (MTN) membuat keputusan berhubung perkara tersebut.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kurniaan itu adalah simbolik kepada keputusan kerajaan negeri menukar status pajakan kepada hak milik kekal untuk kampung baru dan kampung tersusun di negeri ini.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mencabar kerajaan Perak supaya semua permohonan yang dibuat oleh orang Melayu di negeri tersebut diluluskan kerana sebagai kaum pribumi mereka berhak.
"Sehingga hari ini, saya tidak dengar ada orang Melayu di kampung tersusun yang mendapat hak milik kekal tanah seperti mana di kampung baru," katanya.
"Adakah ini dinamakan kerajaan yang adil atau pun hanya untuk menjaga kepentingan politik supaya kaum Cina akan terus menyokong kerajaan negeri boneka Pas," katanya.
Katanya, rakyat Perak harus sedar tentang keadaan itu supaya apa yang berlaku kepada penduduk Palestin tidak berulang di negeri itu suatu masa nanti.
- Dari Laman Web Perkasa
PANDANGAN IKHLAS & BENAR
10 years ago
No comments:
Post a Comment