Tuesday, November 25, 2008

Ibrahim `katak' yang berguna kepada bangsa

ORANG Melayu mengambil masa yang agak lama untuk membetulkan semula persepsi yang cuba dibangunkan oleh parti-parti politik dan NGO bukan Melayu bahawa mempertahankan hak Melayu yang termaktub dalam perlembagaan sebagai perkauman dan perjuangan bukan Melayu yang bersifat antinasional sebagai sah dan demokratik..

Persepsi ini telah timbul di bawah dasar liberalisasi yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Badawi dengan akhbar-akhbar bukan Melayu menjuarai pelbagai isu yang menampakkan ketidakadilan terhadap bukan Melayu.

Negara telah menyaksikan pelbagai provokasi terhadap Islam dan Melayu. Majlis Terbuka Aidilfitri diceroboh, papan tanda jalan pelbagai bahasa diadakan, penghinaan terhadap lagu Negaraku, usaha membengkrapkan Utusan Malaysia dan perbuatan menggantung kepala babi di hadapan rumah orang Melayu di Melaka.

Ironinya di tengah-tengah kemaraan dasar liberalisasi, keterbukaan dan ketelusan ini, tiba-tiba kerajaan mengumumkan untuk mengkaji semula “Rumah Terbuka Hari Raya” sama ada akan diteruskan atau tidak di masa depan.

Tujuan para kelulusan Oxford dan Cambridge menasihatkan Perdana Menteri Abdullah Badawi mengamalkan dasar terbuka itu adalah untuk menunjukan Abdullah lebih demokratik dan tidak authoritarian seperti Dr. Mahathir. Tetapi belum pun terbuka semuanya sudah ada yang perlu ditutup semula. Ini tidak pernah berlaku di zaman Dr.Mahathir.

Ini memalukan kerana apabila Abdullah mengumumkan “era baru libralisasi” itu akhbar NST, Berita Harian dan lain-lain akhbar telah menyiarkan secara besar besaran dengan tujuan untuk memperkecilkan dan menghina era Mahathir.

Ini diikuti dengan siaran besar-besaran ucapan Sultan Perak kepada Majlis Peguam dengan tajuk “ Defend Democracy” seolah olah demokrasi negara ini hendak dihancurkan oleh orang Melayu yang telah menunjukan bantahan mereka terhadap isu-isu sensitif yang telah dibangkitkan oleh bukan Melayu di bawah dasar liberalisasi.

Aspek kritikan Raja Azlan terhadap Majlis Peguam ditenggelamkan dalam berita itu. Kementerian Dalam Negeri dengan pegawai-pegawai yang lemah dan tidak berpengalaman tidak dapat memantau semua ini.
NST dan Berita Harian adalah akhbar yang berada di belakang usaha kempen liberalisasi yang menimbulkan keluh-kesah di kalangan orang Melayu. Ini dapat dilihat dengan jelas sehingga saat ini apabila kegiatan NGO Melayu seperti Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) dan juga Perkasa ( Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) tidak disiarkan atau diperkecilkan sahaja oleh kedua-dua akhbar itu.

Pewaris akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi meminta pihak berkuasa mempertahankan kedaulatan agama Islam serta hak kaum Melayu dan bumiputra seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkasa telah mulai bertindak balas terhadap isu-isu yang bersifat provokasi dari bukan Melayu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dalam suatu kenyataannya baru-baru ini telah menyesali orang Melayu yang bersikap “bertahan” dan tidak menyerang dalam menghadapi semua provokasi ini. Katanya strategi mempertahankan diri yang sebaiknya ialah dengan menyerang.

Ibrahim Ali anggota Parlimen (bebas) dari Kelantan yang selama ini dianggap sebagai katak ternyata dapat melompat dengan berani dalam menghadapi cabaran ini dan dalam keadaan yang cemas ini. Beliau mengambil langkah untuk menyatukan semula orang Melayu di bawah Perkasa .(Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia).

Sekalipun terlambat dan tidak berlaku reaksi secara spontan terhadap semua provokasi yang telah dihadapkan kepada orang Melayu tetapi masih ada masa untuk memulakan langkah berani, masih tidak terlewat untuk menyambut seruan Dr.Mahathir.

Suatu masa dulu, Ibrahim Ali dianggap sebagai “sampah” dalam politik. Beliau kemudiannya membuktikan berguna kepada Pas dan juga kepada UMNO dan sekarang imejnya lebih hebat kerana dia dapat membuktikan bahawa dia berguna tidak sahaja kepada perjuangan politik Pas dan UMNO, tetapi kepada perjuangan yang melampaui batas parti, perjuangan Melayu dan Islam.

Tidak wajar bagi Pas untuk menghinanya lagi kerana dalam pilihan raya umum lalu, Ibrahim juga telah memberikan sokongan moral kepada Pas dan UMNO juga tidak boleh memperkecilkannya kerana selepas pilihan raya beliau menjadi relevan dengan keperluan semasa UMNO.

Sebaliknya persoalan besar yang dihadapi dan mesti diputuskan oleh orang Melayu sekarang ialah sama ada dua anak Melayu Pulau Pinang yang mempunyai kedudukan tertinggi di negara ini masih relevan dengan kepentingan agama,bangsa dan negara..

Pertama ialah Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Badawi dan kedua ialah Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

MUNSYI ABDULLAH
Malaysia Aktif

Friday, November 21, 2008

Semua sokong titah Raja Nazrin

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Pelbagai pihak hari ini menyokong penuh titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah supaya masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat perlu berpegang kepada pepatah 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Menurut mereka, komuniti imigran perlu memberi perhatian serius berhubung perkara itu selain menghormati, menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara ini sepanjang masa.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, tidak ada sebab bagi sesetengah kaum secara lantang mempertikaikan taraf dan hak rakyat pribumi sebaliknya, perlu bersyukur kerana kepentingan dan kedudukan mereka terbela.

Menurutnya, sejarah kelahiran Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu jelas menyatakan bahawa pelbagai kaum yang asalnya adalah warga imigran tetap mendapat peluang sama rata dalam pelbagai bidang.

''Sejarah juga membuktikan bahawa warga imigran yang ada di negara ini diberikan peluang dan ruang membabitkan diri dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan, budaya, sosial dan politik,'' katanya.

Beliau mengulas peringatan daripada Raja Nazrin semalam yang menegaskan betapa pentingnya komuniti imigran di sesebuah negara menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara mereka berhijrah dan menetap sepanjang masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, asas tempat didiami adalah mewarisi sistem dan pandangan hidup yang menjadi pra-syarat bagi sesiapa sahaja yang berada di dalamnya.

Katanya, asas kenegaraan ialah mempunyai kesatuan, bahasa, patriotisme dan sistem pendidikan.

''Setiap rakyat tidak perlu mempersoalkan asas kesatuan negara dan mesti menerimanya sebagai menepati pepatah Melayu 'dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung','' jelasnya.

Pengerusi Biro Maklumat dan Komunikasi MCA, Lee Wei Kiat turut bersetuju dengan titah baginda dan menyifatkan negara akan mengalami pelbagai masalah termasuk berpecah belah dan tidak berintegrasi sekiranya pemimpin negara menggunakan dasar berat sebelah.

''Banyak contoh masyarakat majmuk yang berlatar belakang berbeza dapat mengamalkan cara hidup berintegrasi kerana kesanggupan mereka untuk memahami budaya dan adat kaum di tempat tinggal,'' ujarnya.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Sarjit Singh Gill berkata, komuniti di Malaysia semakin kompleks dengan kehadiran pelbagai warga asing dan kadangkala menimbulkan masalah seperti gejala sosial.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka dikatakan mengalami kejutan budaya apabila kebanyakan daripada adat resam dan peraturan di negara ini merupakan satu perkara yang baru buat mereka.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, penduduk imigran perlu insaf dengan keharmonian sesebuah negara supaya mereka tidak mengganggu gugat negara baru yang diduduki itu.

Katanya, orang Melayu dengan rela hati memberikan satu juta kerakyatan kepada bukan Melayu dan kaum pribumi negara ini asyik beralah sahaja dalam menangani isu-isu yang timbul.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad berkata, kegagalan untuk menghormati tradisi, sejarah dan sistem kerajaan yang wujud di sesebuah negara adalah punca yang boleh menimbulkan konflik merugikan.

Katanya, ABIM turut berpandangan bahawa kecenderungan komuniti imigran dalam urusan berkaitan kaum dan agama ini berpunca daripada sikap tidak objektif, ilmiah dan terlalu berpandukan pada sentimen emosi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, kaum imigran perlu menyesuaikan diri dengan keadaan setempat seperti kaum-kaum imigran yang berlaku di seluruh dunia kecuali Amerika Syarikat (AS), New Zealand dan Australia di mana penduduk asal telah diberikan layanan yang buruk dan kejam.

"Perkasa menyokong penuh titah Raja Nazrin Shah betapa penting kaum imigran di sesebuah negara menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara mereka berhijrah di mana terdapat penduduk asal yang majoriti ," katanya.

Tuesday, November 18, 2008

Rais takes a swipe at Lian Hoe

New Straits Times Nov 17th 2008

by R.S. Kamini

KUALA LUMPUR: Umno supreme council member Datuk Seri Dr Rais Yatim has called Gerakan Wanita chief Datuk Tan Lian Hoe a loud-mouth.

Rais, who is also foreign minister, yesterday accused Tan of being celupar (loud-mouthed) over her statement that the Malays were also immigrants from Nusantara.

Tan had made a speech at Wanita Gerakan's national delegates' conference on Oct 10, on the Malays and other races.

He said Tan should not forget that she had won her parliamentary seat in Gerik in the general election in March with Malay votes.

Rais, who was delivering his keynote address at the opening ceremony of the Perkasa forum on the "Natives' Rights in the Constitution", said the Malays had been the subject of humiliation recently.

"A lot of historical facts have been turned into a political toy, giving way for certain quarters to question and embarrass the Malays and the natives."

He said Umno had suspended Penang's Datuk Ahmad Ismail when he labelled the Chinese as immigrants and squatters, but those who humiliated the Malays were standing tall and laughing.

"Our Youth leader was warned not to kiss the kris, while the usage of Bahasa Malaysia as the national language is threatened with Penang's new socialist government."

He said Malay rights and privileges, including the powers of the royal institution, should be respected by all leaders.

Rais said the struggle to uphold Malay privileges should be seen in a positive light.

Judging from history, Rais said the Malays were among the first to reside in the peninsula (hence the popular term "Land of the Malays" in history books).

"During the British occupation, the one and only traditional institution that they could not eliminate was the special privileges of the Malays and the royal institution," he said, adding that the term "ketuanan Melayu" (Malay supremacy) referred to the powers of the royal institution.

He said a book entitled British Malaya even quoted Frank Swettenham as saying that "the Malays have their own outright position as native inheritors of their land".

(Swettenham was the resident-general of the Federated Malay States, the most senior official in the colonial administration then.)

Rais said the Constitution also clearly stated that it shall be the responsibility of the Yang di-Pertuan Agong to safeguard the special position of the Malays.

He added, however, that the Constitution also stated that the rights of other races and minority groups should be protected.

He said the Malay privileges did not exist without boundaries and they should be put to good use.

"The Bumiputeras should exceed the 30 per cent equity stake by working harder and acquiring new skills and knowledge."

Rais also said that Umno as the protector of Malay rights should never project a weak image, but rectify its weaknesses.

"The Malays and Bumiputeras should strengthen their political positions based on their numbers.

"If you are strong enough in political numbers, the majority will prevail," he said.

Monday, November 17, 2008

Kontrak sosial tiada kaitan hubungan kaum

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Konsep kontrak sosial tidak boleh dilihat dari sudut tolak ansur antara kaum sahaja kerana itu adalah pandangan yang sempit dan boleh dipertikaikan.

Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, konsep tersebut perlu dilihat dari segi 'pemikiran politik' yang ada kaitan dengan sejarah dan akar umbi kewujudan Perlembagaan negara.

Maksud kontrak sosial, katanya, memberi pengertian tertentu terutama hubungan antara negara dan rakyat serta tiada kena-mengena dengan hubungan antara kaum.

"Tetapi di Malaysia, nampaknya perkataan itu memberi pengertian berlainan. Ada yang kata ia ada kaitan dengan tolak ansur dalam perundingan kemerdekaan negara pada 1956 dan 1957 antara kaum Melayu, Cina dan India.

"Nampaknya ramai orang juga sudah mengenal perkataan kontrak sosial. Masih ada juga keraguan atau perbezaan dari segi ertinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Hak-Hak Pribumi Dalam Perundangan dan Perlembagaan Negara pada Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-Hak Pribumi Dalam Perlembagaan di sini hari ini.

Program tersebut yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), dirasmikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Abd. Aziz berkata, justeru adalah penting bagi masyarakat umum yang sudah menerima konsep kontrak sosial tanpa memahami erti sebenar, untuk mengenal inti pati kandungan Perlembagaan negara.

"Walau apapun yang difahami tentang konsep kontrak sosial, yang penting ialah isi kandungan peruntukan Perlembagaan itu yang telah wujud lebih daripada 50 tahun.

"Semua pihak hendaklah menghormati segala peruntukan itu dan tidak mempertikaikannya," ujarnya.

Katanya, amat menyedihkan apabila ada pihak tertentu yang berpendapat sudah sampai masanya Perlembagaan negara dikaji semula, khususnya peruntukan yang memihak kepada satu bangsa atau agama serta yang bercanggah dengan hak asasi manusia.

Menurutnya, pihak-pihak ini cuba mengunakan konsep kontrak sosial dan berhujah kaum Melayu, Cina dan India telah berunding untuk kemerdekaan dan kandungan Perlembagaan adalah hasil tolak ansur antara kaum itu yang merupakan kontrak sosial.

"Mereka berhujah hak istimewa orang Melayu dalam kontrak sosial adalah untuk sementara sahaja. Pendapat, sikap dan tindakan mereka ini tidak sihat dan beralaskan fahaman yang salah daripada segi fakta dan sejarah,'' ujarnya.

Beliau berkata, adalah lebih baik jika mereka ini mengambil kira fakta sejarah yang benar kerana konsep kontrak sosial mempunyai pelbagai erti dan tidak relevan dalam hal mentafsir kandungan Perlembagaan semata-mata.

Sumber: Utusan Malaysia

Perkasa bela hak Melayu

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggariskan lima perkara dalam Perlembagaan negara yang akan menjadi agenda pertubuhan itu untuk diberi perhatian dan diperbincangkan bagi membela hak Melayu dan pribumi dari semasa ke semasa.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkasa juga akan terus lantang mempersoalkan isu-isu berkaitan perkara-perkara penting dalam Perlembagaan bagi menjamin hak kaum tersebut terus terjaga.

“Masih belum terlambat untuk kita bangkit memperjuangkan hak kita yang sudah termaktub. Saya penuh yakin dan bersemangat untuk ini,” tegasnya semasa membacakan resolusi Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Pribumi Dalam Perlembagaan di sini hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim merasmi dan menyampaikan ucaptama pada program tersebut yang turut dihadiri Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Ibrahim berkata, lima perkara yang menjadi agenda Perkasa itu ialah:

l Mencadangkan kedudukan tanah rezab Melayu dimasukkan di bawah perlindungan raja-raja Melayu melalui pindaan Perkara 159 fasal 5.

l Menyarankan supaya hal-hal berkaitan perundangan Islam yang melibatkan kuasa mahkamah syariah seperti terkandung dalam Perkara 121 (1A) diperjelas, diperkasakan terus dilindungi.

l Menuntut supaya dilaksanakan penggunaan sepenuhnya bahasa Malaysia dalam segala urusan dan kehakiman negara melalui Perkara 163 dan 167.

l Menggesa pihak kerajaan supaya sentiasa memandang serius serta memperkasa hak-hak orang Melayu dan pribumi seperti yang terkandung dalam Perkara 153.

l Memastikan Perkara 66 iaitu yang berkaitan kuasa raja-raja Melayu kekal mutlak dan tidak dipertikaikan.

Ibrahim berkata, Perkasa juga akan terus memberi perhatian kepada perkara-perkara penting lain yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

Menurutnya, lima agenda tersebut akan terus dibincangkan pada satu sidang kemuncak mengenai hak-hak orang Melayu dan pribumi yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, penganjuran sidang kemuncak itu masih dalam perbincangan namun ia akan menjadi satu lagi platform untuk orang Melayu dan pribumi memperkasakan hak bangsa mereka.

Sumber: Utusan Malaysia

Melayu akan hilang dunianya jika tidak bangkit semula, Ibrahim

Walaupun hanya setengah hari tetapi Wacana Isu Perundangan dan Hak-Hak Pribumi Dalam Perlembagaan yang dianjurkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia tetap panas.

Mujurlah bilangan jemputan dan hadirin cukup-cukup muat dalam dewan di Memorial Tun Hussein Onn tempat berlangsungkan wacana yang memperkatakan tentang bagaimana Melayu kini dilemahkan dan bagaimanapun Melayu harus bangkit semula.

Jika kata-kata hikmat Laksamana Hang Tuah ‘Melayu tak akan hilang di dunia’ dan beberapa kali disebut dalam majlis itu, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pula ada ungkapan lain lebih tersirat maknanya.

“Hang Tuah kata Melayu tak akan hilang di dunia tetapi sebenarnya bagi saya, Melayu akan hilang dunianya,” ujar Ibrahim merujuk bagaimana orang Melayu kini berdepan zaman penghinaan, hilang maruah serta mudah diaibkan kaum lain.

Sebab itu katanya, inilah masa untuk mengarap keris yang tumpul.

“Tak perlu ramai tetapi semangat dan keberanian yang pernah ditunjukkan pahlawan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Mat Salleh dan Rosli Dhoby perlu terus mengalir dalam jiwa orang Melayu…inilah masanya kita bangkit bagi mempertahan hak-hak pribumi terutama yang ada dalam perlembangaan,” ujarnya menutup wacana tersebut.

Mustahil majlis itu tidak panas jika ucaptamanya disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Presiden Persatuan Peguam Muslim, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abd Rahman.

Turut membakar semangat lebih 150 jemputan di wacana itu, peguam Zainur Zakaria dan Abdul Halim Abdullah serta Prof Dr, Shaik Mohamad Nor Alam dari Universiti Putra Malaysia serta di pengerusikan Datuk Ruhanie Ahmad.

Antara tajuk kertas dibentangkan adalah Isu Hak-hak Pribumi dan Perlembagaan, Perlembagaan sebagai struktur asas dalam tadbir urus negara bangsa.

Majlis itu berakhir dengan perisytiharan PERKASA 18 Dzulkaedah 1429/16 November 2008.

Ibrahim ketika ditemui Agendadaily seusai majlis itu berkata, lima asas yang dihasilkan melalui wacana itu akan menjadi keutamaan PERKASA bagi memperjuangkan hak-hak orang Melayu dalam tempoh terdekat.

Katanya, perkara-perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi perlu diperingatkan supaya ianya sentiasa jelas kepada pihak yang mempertikai hak orang Melayu di negara ini.

Lima perkara itu termasuk Perkara 66 mengenai kuasa Raja-Raja Melayu yang mesti dikekalkan dan bukannya dipinda dan diluluskan jika ada antara sultan tindak menandatanganinya.

“Perkara 153 mengenai kuasa Yang di Pertuan Agong merezabkan sebahagian jawatan dalam perkhidmatan awam, pemberian lesen, permit, biasiswa atau bantuan tidak boleh dinafikan sewenang-wenangnya,” katanya.

Menurut ahli parlimen bebas Pasir Mas itu, fungsi Mahkamah Syariah di bawah 121 (1A) yang berkuasa menetapkan perkara-perkara berkaitan hal ehwal agama Islam juga mesti kekal di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Perkara lain yang turut difokuskan adalah akta menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa ilmu dan bukan diubah sesuka hati seperti kerajaan Pulau Pinang menamakan nama jalan dalam pelbagai bahasa,” ujarnya.

Beliau juga mencadangkan supaya bahasa Melayu terus kekal bahasa rasmi di mahkamah dan perlantikan hakim pula perlu mengambil kira mereka yang boleh berbahasa Melayu.

Perkara terakhir pula katanya, 159(5) mengenai kedudukan Tanah Rezab Melayu yang semakin banyak tergadai kerana bertukar syarat kepada projek pembangunan.

“Tanah rezab Melayu akan hilang sedikit demi sedikit kerana pengambilannya tidak diganti semula sedangkan kanun tanah memperuntukkan sebarang pengambilan tanah ini perlu diganti semula…tetapi ini jarang berlaku,”

“Perkara ini tidak boleh dipinda atau dibiarkan begitu sahaja. Saya difahamkan sudah banyak tanah rezab Melayu bertukar tangan dan tidak diganti,” katanya.

Ibrahim berkata, PERKASA juga akan meminta kerajaan memutuskan kementerian atau badan mana yang akan bertanggungjawab mengenai hal-hal atau hak-hak dalam perlembagaan ini.

“Ramai tak tahu siapa patut bertanggungjawab memaklumkan kepada umum mengenai hal-hal orang Melayu dalam perlembagaan. Tanpa ini, bukan Melayu tidak akan tahu mengenai hal yang sepatutnya diterima oleg Melayu atau pribumi di negara ini,” katanya.

Menurut Ibrahim,.satu Sidang Kemuncak Kaum Pribumi membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan diadakan tahun depan bagi membangkitkan semangat serta kebangkitan orang Melayu.

“Kita belum terlambat lagi kerana apa yang berlaku terhadap orang Melayu ketika ini akan mengisafkan serta memberi kesedaran kepada kita untuk bangkit. Jika kita ada wanita Melayu yang boleh sampai ke kemuncak Everest, tak kan kita tidak berupaya mendepani ancaman ini,” ujarnya.- Agendadaily 16/11/2008

Sunday, November 16, 2008

Ucapan Rais di Program Wacana Pribumi Perkasa dan Kesatuan Peguam Muslim

Berita Harian, 16hb November, 2008

Kebelakangan ni terlalu banyak cemekan yang menghina orang Melayu. Seolah-olah Melayu sudah hilang maruah dan hilang punca. Umno diberi kata dua, apabila seorang pemimpinnya mengatakan bahawa dalam lipatan sejarah ada penumpang di negeri Melayu; bangsa diberi malu di tanah air sendiri. Kerja perli dan mengaibkan ini dilakukan oleh pelbagai pihak terhadap kedudukan utuh bangsa Melayu khususnya dan kaum pribumi di Malaysia amnya.

Pada masa tertentu, didapati seolah-olah fakta dan sejarah menjadi alat mainan politik masing-masing, lalu Melayu dan pribumi ditempelak, dipertikai, dicemuh dan dihina. Seorang Timbalan Menteri daripada parti Gerakan lantas mendakwa pada 10 Oktober lalu pada majlis rasmi partinya bahawa orang Melayu kononnya sama saja dengan kaum lain sebagai pendatang ke negara ini.

Pemimpin celupar itu yang secara kebetulan memenangi kerusi Dewan Rakyatnya di Perak Mac lalu atas sokongan pengundi Melayu akhirnya merumuskan jika tak faham sejarah, jangan memandai-mandai. Sementara itu ada pula pihak lain yang meluahkan pendapat kononnya Melayu tak ada mempunyai taraf ketuanan.

Terbaru ialah pandangan bahawa lantaran Barack Obama baru saja menang pilihan raya di Amerika Syarikat, justeru di Malaysia juga perlu ada situasi di mana sesiapa saja harus boleh jadi Perdana Menteri; mereka yang lebih jauh igauannya melontarkan pendapat bahawa di Malaysia kononnya diskriminasi begitu hebat hingga segala prasarana politik dan sosial yang selama ini menjadi sifat semula jadi kenegaraan dan negara bangsa perlu dipinda atau diubah supaya wujud suasana sama rata dan sama rasa.

Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan yang mempersenda bangsa mereka. Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tak kisah dan lantas membiarkan saja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing.

Masih ingatkah kita peristiwa di mana Melayu diberi amaran supaya jangan lagi membabitkan keris dalam soal-soal perjuangan? Masih ingatkah kita siapa yang mengatakan Melayu itupun pendatang dan semua juga pendatang ke negara ini?

Masih ingatkah kita apabila Ahmad Ismail mengingatkan fakta sejarah mengenai situasi ‘menumpang’ dan ‘pendatang’? Sekarang Ahmad Ismail digari oleh partinya sendiri. Tetapi mereka yang menghina masyarakat Melayu dan pribumi masih berdiri di busut tinggi sambil ketawa menghilai dan bertepuk tangan.

Ketua Pemuda kita pernah diberi amaran jangan cium keris lagi. Kini pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi condong disebabkan dasar sosialis kerajaan baru Pulau Pinang. Kemudian berlaku pula amalan tangkap lepas, tangkap lepas di sisi undang-undang keselamatan negara yang selama ini menjamin ketenteraman awam. Seolah-olah kuasa politik dan undang-undang yang ada sudah luntur. Memang boleh dibandingkan dengan pepatah ‘apabila pohon tumbang kura-kura pun naik.’

Dalam persekitaran inilah kita berpolemik hari ini. Mari kita susur sejarah. Kemudian kita kaji undang-undang negara kita. Akhirnya kita rumuskan apa harus dibuat bagi pihak orang Melayu dan kaum pribumi agar masa depan anak cucu kita tidak kacau. Agar kita dan mereka tidak tercari-cari atau teragak-agak mengenai haluan dan kedudukan bangsa. Agar kita jangan seperti pantun bidalan:

Udangnya banyak di hilir
Ikan diatur dengan galah
Undang-undang memang mahir
Tapi bicara kita kalah



Dengan latar belakang dan suasana begini, kita harus meneliti semula kedudukan orang Melayu dan pribumi daripada dua aspek. Pertama dari sudut sejarah dan kedua dari sudut perundangan. Kedua-dua aspek ini sebenarnya berkait rapat. Sementara undang-undang adalah peraturan dan syarat yang dicipta manusia melalui penguatkuasaan legislatif atau lunas di Raja (Royal prerogative) fakta sejarah adalah laluan hidup dan tamadun sesuatu bangsa.

Tentunya sejarah bersandar kepada fakta tarikh dan zaman. Walaupun sebab musabab atau huraian sejarah mungkin boleh dihujah dan dipertikaikan menerusi sentimen politik, agama dan budaya masing-masing, ia tetap menimbulkan kenyataan yang mengikut sarjana dinamakan fakta sejarah.

(a) Fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali dunia sebagai Malaya (Land of the Malays). Ini adalah seperti mana India adalah negeri orang keturunan bangsa India yang stok asalnya berunsur ‘Dravidian’; seperti orang Arab di Asia Barat khususnya di Arab Saudi; seperti negeri China dinamakan China lantaran bangsa Cina yang bertamadun 5,000 tahun itu mendiami dan mewarisi negara itu turun-temurun atau seperti England didiami Anglo-Saxon. Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.

Seperti Christopher Columbus menemui Red Indians di benua Amerika pada abad ke-15 sebagai penduduk asal benua Amerika, begitulah juga I-Tsing, seorang yang menetap lama di Palembang sekitar 671 Masihi, menggunakan istilah ‘moloyu’ untuk merujuk kepada orang Melayu yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Tanah Melayu, pengembara-peniaga Arab pada abad ke-7 juga menyebut beberapa kawasan negeri Melayu seperti Pahang, Temasik, Terengganu, Jambi dan lain-lain dalam catatan mereka.

Temasek, Jawa, Inderagiri dan kepulauan lain di kawasan lautan Tenggara lazim kemudiannya dinamakan Nusantara oleh sarjana tempatan. Saudagar Arab yang menjelajah Perlak di Acheh pada 1242, Melaka 1420, Sulawesi 1470, dan lain-lain kawasan kepulauan rantau ini juga mengislamkan Raja-Raja Melayu yang pada masa itu rata-rata beragama Hindu dan menamakan mereka sebagai Sultan walaupun nama dan terma Sanskrit serta beberapa amalan budaya Hinduisme masih berpengaruh, terutama berkaitan kepercayaan animisme dan semangat.

Walaupun pedagang India mula intim dengan Melaka selang beberapa tahun selepas Parameswara membuka Melaka pada 1403, pedagang Cina hanya mula pesat di Melaka selepas pelayaran Cheng Ho. Masyarakat Nyonya-Baba dipercayai mula bertempat selepas tahun 1413. Tetapi apa yang harus diambil sebagai kenyataan atau fakta sejarah ialah bahawa Melayu adalah penduduk hakiki berkurun-kurun sebelum Melaka dibuka. Melayu sebagai warga asal Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara sudah difaktakan sejarah.

Jika ini masih dikhuatiri sebagai kurang cukup sebagai bukti, Sejarah Melayu penulisan klasik Tun Sri Lanang amat memadai sebagai bukti bahawa orang Melayu dan raja mereka adalah bangsa asal di kepulauan Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu.

Kisah antiquiti berkaitan personaliti pra-sejarah seperti Raja Suran, Wan Empok Wan Malini di Bukit Siguntang, Demang Lebar Daun, Sang Sapurba, Sang Nila Utama, Cati Si-Bilang Pandai, Raja Seri Maharaja, Datuk Perpateh Nan Sebatang dan Datuk Temenggung – semua ini adalah ikon keturunan kita yang menerokai dunia sebelah sini sekurang-kurangnya sejak 2,500 tahun lalu.



Pada zaman Inggeris bertapak di Semenanjung yang secara kasarnya antara 1874 hingga 1957, tenaga buruh India dan Cina dibawa masuk bagi memenuhi kehendak politik dan ekonomi mereka. Buruh India untuk kerja raya, peladangan getah dan perkeranian; kaum Cina untuk sektor perlombongan, perniagaan runcit dan keperluan pentadbiran negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Untuk menyamakan kedudukan orang Melayu di Semenanjung dan pribumi di Sabah, Sarawak dengan asal-usul keturunan kaum pendatang amatlah menyeleweng dan bersifat tidak jujur.

(b) Pencorakan kuasa politik yang diterjemahkan melalui kuasa pemerintahan

Tanpa menghitung panjang lebar mengenai kuasa pentadbiran Inggeris, satu-satunya institusi tradisional yang mereka tidak berjaya menghapuskan ialah hak keistimewaan dan kedaulatan Raja Melayu. Apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu ialah kedaulatan dan keistimewaan Raja Melayu.

Ini adalah kerana institusi Raja atau kesultanan Melayu itu sentiasa rapat dengan psyche kemelayuan. Secara tradisi pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lain pentadbir Inggeris sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu. Mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata ‘the Malays have their own outright position as native inheritors of their land’.

Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, ketika Bintang Tiga dan gerombolan penjahat komunis bergelut untuk merampas Malaya dari tangan British, pegawai-pegawai tinggi mereka terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal. Perkara pokok seperti hak keistimewaan Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran Raja Melayu, agama Islam dan adat istiadat Melayu antara lain diberi peruntukan di dalamnya.



Perjanjian ini sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum lain tidak disia-siakan. Perjanjian inilah yang menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dalam laporan Suruhanjaya Reid terkandung ayat ini: ‘The Alliance in their memorandum said - The Constitution should therefore provide that the Yang di-Pertuan Besar (Agong) should have the special responsibility of safeguarding the special position of the Malays.’

Ungkapan rasmi itu membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan seperti yang diperturunkan di atas adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum di Malaya ketika itu. Hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Walaupun Perlembagaan Persekutuan dipinda 45 kali, peruntukan ini kekal sehingga kini di bawah Perkara yang sama. Bahasa perundangan yang digunakan di bawah Perlembagaan 153 adalah bersifat wajib kerana klausa (1) memperuntukkan.

“Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”



Peruntukan ini sebenarnya lebih tegas lagi bahasanya di dalam versi bahasa Inggeris kerana ayat awalannya berbunyi “It shall be the responsibility of the Yang di-Pertuan Agong to safeguard the special position of the Malays and the legitimate interests of other communities...” Dengan lain takrif, Yang di-Pertuan Agong tidak dapat tidak, wajib memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan sah kaum-kaum lain di negara ini.

Dari sini kita harus melihat kandungan peruntukan 153 selebihnya. Klausa (2) mentakrifkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dalam tugas baginda memelihara kedudukan istimewa orang Melayu adalah tertakluk kepada Perkara 40 Perlembagaan yang mewajibkan nasihat Kabinet atau salah seorang daripada Menteri yang bertindak menasihati baginda.

Dalam konteks inilah Yang di-Pertuan Agong berkuasa merizabkan sebahagian jawatan dalam perkhidmatan awam. Klausa 153(2) juga menyebut mengenai permit atau lessen, biasiswa atau bantuan. Perkara 153 amat luas kerana ada perkataan ‘atau lain-lain kemudahan khas’. Klausa (3) pula memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan arahan berkaitan pemberian keistimewaan-keistimewaan itu. Penting disebutkan di sini bahawa sekali bantuan atau keistimewaan itu diberikan, ia tidak boleh dilucutkan sewenang-wenangnya.


Tan Sri Abu Zahar Ujang - Presiden Persatuan Peguam Muslim

Peruntukan tradisi yang asasi di bawah Perundangan Negeri Persekutuan

Setiap perlembagaan sesebuah negara sedia mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan ‘entrenched’ atau yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa, yakni dengan hanya kelulusan 2/3 daripada anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat. Peruntukan itu seperti yang disenaraikan di bawah hanya boleh dipinda dengan persetujuan Majlis Raja-Raja:

Perkara 10(4) perihal kuasa Parlimen membuat undang-undang pencegahan berkaitan keselamatan negara, keistimewaan dan kewarganegaraan, Bahagian 3 (Kewarganegaraan).
l Perkara 38 (Majlis Raja-Raja)
l Perkara 63(4) (Keistimewaan-keistimewaan Parlimen)
l Perkara 70 (Keutamaan Yang Di-Pertua Negeri dan Raja)
l Perkara 71(1) (Jaminan Kerajaan Persekutuan terhadap Perlembagaan negeri)
l Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan)
l 153 (Hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera)
l 181 (Kedaulatan & keistimewaan Raja-Raja Melayu)

Rumusan pertama yang boleh dibuat ialah kuasa pengimbang tetap ada pada Raja Melayu sama ada yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, Sultan masing-masing atau pada Majlis Raja-Raja yang berfungsi di bawah Perkara 38. Di semua negeri di Semenanjung misalnya, hanya orang Melayu yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar tetapi hal yang sama tidak wujud di Persekutuan, di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.


Profesor Dr Shaik Mohamad Nor Alam - Universiti Putra Malaysia

Perkara 43 (2) syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat. Dalam keadaan ini tentunya suatu hari nanti seorang warganegara Malaysia bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

Walaupun ini adalah sesuatu yang kurang menggembirakan golongan nasionalis Melayu, realitinya adalah sedemikian. Inilah yang menyebabkan seseorang ketua pembangkang di Dewan Rakyat akan sentiasa cuba mendapatkan sokongan majoriti daripada keanggotaan Dewan itu. Dalam konteks yang sama Yang di-Pertuan Agong mempunyai tiga fungsi dan kuasa yang tidak boleh dipersoalkan:

(a) Pertama melantik seseorang Perdana Menteri,
(b) kedua, tidak memperkenankan membubar Parlimen (apabila didesak oleh sesuatu pihak) dan
(c) meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja dan mengambil tindakan darihalnya.

Kuasa ini juga wujud di bawah perlembagaan semua negeri beraja. Peristiwa di Perlis dan Terengganu pada April 2008 jelas menukilkan fakta ini. Walau apapun yang dipertikaikan, faktanya ialah Raja Melayu mempunyai kuasa mutlak walaupun ada pihak yang menyatakan bahawa Raja mesti ikut nasihat dalam menentukan sesuatu di bawah Perkara 40 Perlembagaan.

Pada suatu hakikat ini, memang benar tetapi harus difahami bahawa bahasa perundangan yang sedia ada di bawah Perkara 43(2) cukup jelas untuk membenarkan Raja bertindak melantik Perdana Menteri mengikut pandangan subjektifnya.

Ini bermakna keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera bukanlah tanpa sempadan dari segi realitinya. Justeru, keistimewaan itu harus dilampini dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan. Ekonomi Bumiputera seharusnya kini melebihi paras 30 peratus dari segi perolehan aset. Malangnya, Bumiputera masih dikatakan berada pada tahap kurang 20 peratus.

Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap? Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib yang lain. Sebagai warga Malaysia yang majoriti tiada salahnya jika cita-cita politik Umno misalnya ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi.

Dari sudut ini jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini sudah kurang berjaya memperjuangkan kaedah atau mekanisme penyampaian dasar DEB itu walaupun dari segi pembangunan banyak kemajuan tercapai.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini memerlukan kaedah penggunaan yang baru. Ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan hanya setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Keadaan ‘sekerat belut sekerat ular’ dalam pembahasan harus ditinggalkan. Usaha dan tugas memantau melalui kuatkuasa undang-undang Dewan Bahasa dan Pustaka berkaitan penggunaan bahasa Kebangsaan harus diketengahkan segera.

Lantaran Kabinet sudah meluluskan pindaan undang-undang yang diperlukan setahun lalu usaha memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan mesti diutamakan. Bangsa yang kurang menekankan bahasa nasionalnya akan ketinggalan dalam hal pemupukan budaya nasionalnya juga.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu memang akan tetap kukuh dan berkuatkuasa selagi pemerintahan berparlimen dan Raja berperlembagaan kekal di Malaysia. Sistem yang ada juga bermakna bahawa kepentingan warga bukan Melayu tidak diabaikan kerana kuasa Parlimen membuat undang-undang negara yang berasaskan keadilan dan kesaksamaan tetap wujud dan terpelihara.

Demikian pun, rakyat Malaysia harus diberi lunas menghormati dan menghayati kedaulatan Raja. Cara terbaik ialah dengan melunaskan Rukunegara sepenuhnya melalui latihan dan pembelajaran. Yang perlu diingati ialah, setakat mempunyai hak keistimewaan seperti yang terkandung pada Perkara 153, atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu (Perkara 38 dan 181), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara (Perkara 3) – ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi, jauh sekali mendaftarkan ketuanan Melayu itu sendiri.

Ketuanan sesuatu kaum atau supremacy sesuatu masyarakat tidak boleh dipergantungkan sangat, lantaran sifat itu lebih kepada perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan perlembagaan negara.

Laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit, dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab, disiplin politik dan sebagainya. Kalau kita beli undi untuk jadi ketua bahagian atau hendak jadi pemimpin dalam Umno, bagaimana kita boleh kata kita Tuan?

Sebagai warga asal, orang Melayu dan pribumi memang boleh berbangga dan mendabik dada jika sifat tinggi peradaban itu terlengkap pada diri pemimpin dan yang dipimpin. Apabila ini terbukti, dengan sendirinya orang Melayu dan kaum pribumi akan dilonjakkan oleh masyarakat Malaysia. Tetapi sekadar melaungkan Melayu tuan kepada sekalian yang lain barang sudah tentu akan menyulitkan perjuangan itu sendiri.

Hanya Raja kita yang boleh dianggap Tuan kepada semua warganegara Malaysia. Selainnya kita adalah sama di sisi undang-undang. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Berhadapan dengan peruntukan ini tidaklah wajar mana-mana orang mendakwa atau menuntut bahawa bangsanya adalah tuan kepada yang lain. Kesultanan atau Raja Melayu yang menjadi tunggak dan simbol kuasa dan kerajaan yang berdaulat memang memungkinkan orang berani melaungkan ‘Ketuanan Melayu’.

Sebagai perbandingan, Red Indian di Amerika dan orang Maori di New Zealand, misalnya masih belum berani menonjolkan diri mereka sebagai pihak yang dipertuankan oleh warga majmuk di negara mereka. Ini disebabkan bilangan mereka yang kecil dan keupayaan politik mereka terhad. Melayu dan pribumi memang mempunyai kelebihan dari segi bilangan penduduk dan hak-hak tertentu di negara ini tetapi kekuatan politik orang Melayu sendiri sudah banyak terhakis akibat politik Umno, Pas dan PKR.

Jika kekuatan politik orang Melayu dapat disatukan atau sekurang-kurangnya Umno itu sendiri diperkasakan perjuangannya, sudah tentu kuasa bangsa akan menjana kuasa yang lebih besar. Bila itu berlaku bolehlah ‘ditepuk dada ditanya selera’. Nanti orang lain yang akan mengatakan bahawa Melayu adalah tuan di negara mereka.

Takrif Melayu itu sendiri mempunyai tiga syarat asas: pertama, seseorang itu hendaklah menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. Definisi Melayu ini tentunya menimbulkan masalah oleh kerana jika kurang tersempurnanya salah satu daripada syarat yang tiga itu mungkin menyebabkan seseorang itu tidak lagi layak dianggap sebagai Melayu.

Bagaimanapun, kesukaran seperti ini belum pernah disuai di hadapan mahkamah di negara ini. Ini tidak bermakna ia tidak akan muncul nanti sebagai suatu kemungkinan yang membawa kepayahan. Misalnya dari segi bahasa dan adat istiadat mungkin akan muncul persoalan: adakah kita kini berbahasa Melayu dengan lazimnya? Adakah kita mengamalkan budaya kita sehingga secara jelas mengandungi adat istiadat Melayu; apakah dia adat istiadat Melayu itu?

Bila semua ini dipersoalkan, sedikit sebanyak natijah tidak sempurna mungkin muncul.

Syor
l Melayu-Bumiputera perlu memperkasakan politik melalui bilangan mereka yang besar
2 Mengenal sejarah bangsa untuk panduan perjuangan
3 Mengenal kelemahan politik dan ekonomi dan mengatasi dengan muhasabah diri
4 Politik Melayu melalui Umno mesti diubah – Fasal 3 Perlembagaan Umno perlu dihayati lantaran di dalamnya sedia terkandung agenda Melayu yang sebenar
5 Semua dasar berkaitan Melayu-pribumi dan Islam diputuskan terlebih dulu oleh tapisan politik sebelum diputuskan kerajaan
6 Hindari perjuangan lemah imej. Bertindak apabila Melayu atau Umno dicerca oleh politik luaran
7 Sistem penguatkuasaan undang-undang dan dasar dijamin pantas dan saksama.

PERISYTIHARAN PRIBUMI PERKASA 16 NOV 2008

Pada 16 hb Nov 2008 , jam 0.800 pagi - 1.00 tengahari di Memorial Tun Hussein Onn, Bukit Perdana, Kuala Lumpur ; saya telah berkesempatan menghadiri satu majlis Wacana Perkasa anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA ) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia. Ucaptama wacana ini telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia. Di akhir wacana ini, satu deklarasi yang dinamakan PERISYTIHARAN PERKASA MENGENAI HAK-HAK PRIBUMI DALAM PERLEMBAGAAN telah disepakati. Teks kepada Pengisytiharan tersebut adalah seperti berikut:

BISMILLAHIR-RAHMANIR-RAHIM.

1) MENGINSAFI BAHAWA kelangsungan dan kejayaan Persekutuan Malaysia akan sentiasa bergantung kepada kejayaan sebenar usaha-usaha pengisian Kedaulatan Melayu dan Pribumi dalam proses kenegaraan dan amalan masyarakat Malaysia;

2) MENYEDARI BAHAWA sebarang usaha untuk menafikan kedudukan, kuasa, wibawa, kepentingan dan peranan Kedaulatan Melayu dan Pribumi dalam proses kenegaraan dan amalan masyarakat Malaysia akan menghasilkan ketidaktentuan kepimpinan negara dan amalan politik yang tidak terarah danb lemah;

3) MENYEDARI BAHAWA ancaman-ancaman terhadap kelangsungan dan kejayaan Persekutuan Malaysia yang berteraskan kepada Kedaulatan Melayu dan pribumi, telah dan sedang berlaku dengan hebat, tersusun dan menyeluruh, yang menuntut perjuangan dan tindakan-tindakan penentangan dari bangsa Melayu dan pribumi, serta masyarakat terbanyak;

4) MENGETAHUI BAHAWA kaum bukan Melayu di Malaysia memiliki jaminan hak dan kepentingan sah pada tahap paling tinggi di bawah perlindungan Seri PadukanBaginda Yang DiPertuan Agong;

MAKA dengan berpandu kepada fakta-fakta yang benar, bukti-bukti sejarah dan bukti-bukti terkini dan hujah-hujah yang sah, KAMI Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dengan kerjasama Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang bersidang pada hari ini, 16 November 2008 bersamaan 18 Dzulkaedah 1429H, dalam wacana Hak-Hak Pribumi dalam Perlembagaan di Auditorium Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, dengan tegas dan lantang menyatakan bahawa :

SATU - MENGGESA pihak kerajaan (persekutuan dan negeri ) agar sentiasa mendapatkan restu dan perkenan DYMM Raja-Raja Melayu bagi apa jua tindakan pentadbiran yang menyentuh atau berkaitan dengan hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Pribumi di Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain;

KEDUA - MENGGESA semua pihak supaya menghormati semangat perlembagaan yang mendasari dan menjadi paksi kepada kedudukan Bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak melakukan sesuatu tindakan yang secara langsung atau tidak langsung menjejas dan menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Di atas semangat yang sama, kami menuntut dilaksanakan penggunaan sepenuhnya Bahasa Melayu dalam urusan perundangan dan kehakiman negara;

KETIGA - MENGINGATKAN bahawa peruntukkan asas perlembagaan adalah suatu piagam yang tidak boleh sama sekali di ubah, dipinda, dibuang, dimansuh atau dicabar secara sewenang-wenangnya. Ini kerana peruntukkan-peruntukkan asas tersebut bukan sekadar suatu dokumen undang-undang, tetapi ia mencatatkan dan melambangkan semangat permuafakatan dan kerjasama pelbagai pihak dan kepentingan;

KEEMPAT - MENCADANGKAN agar kedudukan tanah rezab Melayu dan regimen askar Melayu dimasukkan di bawah perlindungan Raja-Raja Melayu melalui pindaan kepada perkara 159 Fasal (5) dan perkaras 10 fasal (4). Ini berdasarkan hakikat bahawa perlembagaan adalah suatu piagam yang di dalamnya terjamin maktub struktur asas Negara bangsa Malaysia ;

KELIMA - PERCAYA bahawa faham ketuanan Melayu sering disalah tafsir sedangkan ianya adalah satu hakikat sejarah bahawa orang Melayu dan pribumi lainnya adalah tuan rumah asal negara ini. Pembuktian mengenai faham ketuanan ini secara langsung telah dilambangkan melalui institusi Raja-Raja Melayu melalui ketuanan berhemah seperti yang terjamin maktub di dalam perlembagaan persekutuan. Justeru, itulah seluruh peruntukkan dalam perlembagaan Raja Melayu dan pribumi tidak boleh dipertikaikan;

KEENAM - MENGUSULKAN agar beberapa peruntukkan khas perlu diadakan dan dilindungi di bawah perlembagaan bagi memelihara dan memajukan kedudukan dan kepentingan golongan yang daif dan miskin secara saksama tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama;

KETUJUH - MENGGESA agar semua rakyat, terutamanya generasi muda serta pemimpin semua peringkat, wajib memahami isi kandungan serta peranan perlembagaan dalam menjamin ketenteraman dan keharmonian Malaysia sebagai sebuah Negara bangsa. Untuk itu kerajaan pusat dan negeri harus mewajibkan kefahaman ini kepada kumpulan sasar melalui sistem pendidikan atau kursus-kursus khas seperti pusat latihan khidmat Negara ;

KELAPAN - MENGGESA agar semua parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar mengakui dan menerima peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan hak-hak keistimewaan kaum melayu dan bumiputra serta kepentingan-kepentingan sah kaum lain serta tidak mengeksploitasi peruntukan di atas bagi maksud-maksud sempit sehingga menggugat keharmonian dan kestabilan Negara bangsa.

Menginsafi dan menyedari bahawa perjuangan mempertahankan yang hak dan benar dan memperkasakan Kedaulatan melayu dan pribumi memerlukan beberapa tindakan segera, maka KAMI mengesyorkan :

(i) Supaya dirangka dan dilaksanakan satu program raksasa memberi pendidikan dan memasyarakatkan, berdasarkan kumpulan sasaran yang ditetapkan akan kedudukan, kuasa, wibawa, kepentingan dan peranan Kedaulatan melayu dan pribumi dalam proses kenegaraan dan amalan masyarakat Malaysia, di mana Institusi Raja-Raja Melayu mohon Menjungjung Kasih akan berperanan sebagai Penaung dan Penasihat;

(ii) Supaya diambil tindakan menyusun kurikulum program pemasyarakatan ini secara lengkap dan kaedah penyampaiannya ditentukan supaya berkesan ditahap di mana kumpulan sasaran berupaya menjiwainya;

(iii) Supaya disusun strategi yang menyeluruh dan bertindak secara bijaksana dan berkesan bagi mengalahkan peperangan psikologi dan saraf, usaha-usaha halus dan terang-terangan penghakisan dan pengkhianatan terhadap asas-asas, struktur-struktur dan kekuatan Kedaulatan Melayu;

(iv) Menggesa pihak yang bertanggungjawab agar merangka pelan-pelan dan jangkamasa tindakan serta pengukuran kejayaan terhadap usaha-usaha memperkasakan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan pribumi serta mendapatkan pandangan dan maklum balas dari Duli-Duli Yang Maha MUlia Raja-Raja Melayu selaku Penaung dan Penasihat, dan melaksanakan semua pelan-pelan tindakan ini sehingga berjaya.

KUALA LUMPUR
16 November 2008/ 18 Dzulkaedah 1429H