Thursday, February 26, 2009

Perkasa anjur perhimpunan pribumi 22 Mac

Utusan Malaysia, Feb 25 2009

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Perkasa Negara akan diadakan di Kompleks Sukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bangsar pada 22 Mac ini.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan berkata, perhimpunan itu bertujuan memupuk semangat penyatuan dan perpaduan pribumi daripada pelbagai fahaman dan ideologi politik bagi membincangkan hak-hak pribumi dan kedaulatan negara.

Katanya, penganjuran yang bertemakan ‘Pribumi Bertindak Demi Negara’ itu bakal menghimpunkan ribuan kaum pribumi dan ratusan pertubuhan pribumi termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Perhimpunan Perkasa dijadual berlangsung pada sebelah pagi dan terbuka kepada orang ramai sementara sidang kemuncak pula diadakan pada pukul 2 petang.

“Perkasa menjangkakan kehadiran sekurang-kurangnya 10,000 orang menyertai perhimpunan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Fuad yang juga pengerusi program berkata, perhimpunan kali ini juga bakal menghimpunkan tokoh akademik dan pemikir yang akan menyuarakan ruang kepakaran masing-masing bagi merungkai permasalahan dan dilema kaum pribumi di negara ini.

Antara yang sah menghantar wakil ke perhimpunan tersebut ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Kumpulan Bajau dari Sabah, wakil pribumi Sarawak dan wakil Orang Asli.

“Majlis tersebut akan diakhiri dengan pengisytiharan 10 perkara Tindakan Perjuangan Perkasa dan pembentangan Deklarasi 22 Mac 2009,” katanya.

Perkasa anjur Perhimpunan Pribumi 22 Mac

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Perkasa Negara akan diadakan di Kompleks Sukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bangsar pada 22 Mac ini.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan berkata, perhimpunan itu bertujuan memupuk semangat penyatuan dan perpaduan pribumi daripada pelbagai fahaman dan ideologi politik bagi membincangkan hak-hak pribumi dan kedaulatan negara.

Katanya, penganjuran yang bertemakan 'Pribumi Bertindak Demi Negara' itu bakal menghimpunkan ribuan kaum pribumi dan ratusan pertubuhan pribumi termasuk dari Sabah dan Sarawak.

"Perhimpunan Perkasa dijadual berlangsung pada sebelah pagi dan terbuka kepada orang ramai sementara sidang kemuncak pula diadakan pada pukul 2 petang.

"Perkasa menjangkakan kehadiran sekurang-kurangnya 10,000 orang menyertai perhimpunan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Fuad yang juga pengerusi program berkata, perhimpunan kali ini juga bakal menghimpunkan tokoh akademik dan pemikir yang akan menyuarakan ruang kepakaran masing-masing bagi merungkai permasalahan dan dilema kaum pribumi di negara ini.

Antara yang sah menghantar wakil ke perhimpunan tersebut ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Kumpulan Bajau dari Sabah, wakil pribumi Sarawak dan wakil Orang Asli.

"Majlis tersebut akan diakhiri dengan pengisytiharan 10 perkara Tindakan Perjuangan Perkasa dan pembentangan Deklarasi 22 Mac 2009," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 25 Februari 2009.

Sunday, February 22, 2009

Perkasa NS sedia pikul amanah Melayu

SEREMBAN 20 Feb. – Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan orang Melayu wajar ditubuhkan di negara ini supaya hak dan kepentingan mereka tidak tergadai.

Pengerusi penaja Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) cawangan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Noor Nordin Abdullah berkata, orang Melayu harus lantang bersuara supaya hak mereka tidak digugat atau diperkotak-katikkan bangsa lain.

‘‘Kita mahu menyampaikan mesej kepada orang Melayu supaya bersatu dan jangan terlalu leka berpolitik sehingga hak dan kepentingan sanggup digadai.

‘‘Kami sedar dengan bicara politik, orang Melayu sukar untuk bergabung. Tetapi satu NGO berteraskan orang Melayu, mampu menggabungkan fahaman politik demi menjaga maruah mereka,” kata beliau ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Katanya, pemikiran dalam politik tidak boleh dicampur aduk dalam memperkatakan hak dan kepentingan orang Melayu dan sebab itulah Perkasa diwujudkan supaya suara orang Melayu tanpa mengira fahaman politik dapat disepakatkan.

‘‘Perkasa mahu menjaga hak dan kepentingan orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam daripada sebarang anasir dan pencerobohan.

‘‘Kami tidak mahu membiarkan orang Melayu terus dipermain, diperguna dan diperhambakan. Perkasa adalah untuk orang Melayu menyampaikan mesej itu dan kita mendukung peranan berkenaan supaya orang Melayu kembali disatukan untuk mesej ini,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia

Friday, February 20, 2009

Ibrahim Ali hempas songkok pertahan Raja-Raja Melayu

Ibrahim Ali hempas songkok dan berang ketika bahas pertahan Raja-Raja Melayu ...

Barangkali sudah fedup dengan sikap pemimpin pembangkang yang cakap tak serupa bikin, sentiasa menangguk di air keruh dan anggap diri mereka sahaja betul dan bersih, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali 'meledak' di Dewan Rakyat, petang Khamis.

Ledakan perasaan beliau bukan sahaja meletuskan perang mulut dengan ahli parlimen pembangkang tetapi sebahagian besar daripada mereka termasuk Ketua Pembangkang angkat kaki kerana ada antara mereka panas telinga dan merah muka.

Masakan mereka tidak angkat punggung kerana Ibrahim ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang diPertuan Agong menyindir dan membalun kaw-kaw anggota Parlimen yang bersikap hipokrit serta sanggup mempolitikkan masa depan anak bangsa untuk kepentingan sendiri.

Pemimpin ini katanya tidak memperjuangkan apa yang sepatutnya mereka perjuangkan ketika berkuasa sebaliknya menghentam kerajaan apabila berada di luar kerajaan.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyifatkan pemimpin demikian adalah munafik kerana hanya bersetuju perkara yang menguntungkan mereka sahaja.

"Kenapa kita nak rosakkan semua orang dan kata kita saja yang betul, kita sahaja yang bersih sedangkan kita adalah pembohong besar," tegas beliau ketika Dewan masih sepi tanpa seorangpun ahli parlimen bangun mencelah atau minta laluan bercakap.

Kekecohan mula tercetus apabila Ibrahim menggunakan perkataan 'bangsa asing' yang dikatakan tidak tahu menggunakan perkataan sesuai terhadap Raja-Raja Melayu.

Ahli Parlimen PKR Padang Serai N.Gobalakrishnan kemudian meminta beliau menarik balik perkataan bangsa asing itu kerana menyifatkan ia merujuk kepada bangsa yang ada di dalam negara ini selain ia kurang sopan.

Ibrahim bagaimanapun enggan menarik balik perkataan itu kerana ia merujuk kepada bangsa asing di luar negara menyebabkan Gobalakrishnan pula menuduh Ibrahim, munafik.

Keadaan itu mencetuskan pertikaman lidah antara mereka berdua dengan Ibrahim antara lain kedengaran mengeluarkan perkataan 'bangsat' dan 'jangan kurang ajar'.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menenangkan keadaan tetapi tidak diendahkan oleh kedua-dua anggota Parlimen tersebut.

Keadaan bertambah panas apabila kedua-dua mereka saling mempertahankan diri dan akhirnya kerana tidak tahan lagi, Gobalakrishnan keluar Dewan sambil menuturkan kata-kata yang tidak jelas didengar..

Menyedari beliau mengeluarkan kata-kata kasar, Ibrahim kemudian meminta maaf kepada Dr Wan Junaidi dan menarik balik semua perkataan yang tidak sesuai disebut.

Katanya, Gobalakrishnan sengaja membuat provokasi terhadapnya tanpa mengikut peraturan, tidak menghormati Tuan Yang Dipertua...menuduh, menuding dan mengeluarkan katakata kesat sambil keluar dari Dewan.

Belumpun reda, Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad pula masuk campur dan cuba bertikam lidah dengan Ibrahim malah satu ketika Ahli Parlimen Pasir Mas itu sudah membuka songkok dan menghempasnya ke atas seolah-olah geram kerana terus diganggu pembangkang ketika berbahas.

Khalid cuba mempertikaikan sikap Ibrahim seolah-olah hanya beliau pemimpin yang memperjuangkan hak dan institusi Raja-Raja Melayu dan terus keluar Dewan.

Isu yang dibangkitkan Ibrahim itu bagaimanapun mendapat sokongan Ahli Parlimen kerajaan termasuk Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dan Datuk Mohamed Aziz dari Sri Gading.

Malah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut bangga dengan ketegasan Ibrahim mempertahankan hak Raja-Raja Melayu di negara ini.

Mohamed Aziz berkata, Pasir Mas bercakap soal kedaulatan Raja-Raja Melayu dan semua pihak patut mendengar.

"Kenapa Padang Serai (Gobalakrshnan) nak marah. Apakah berdosa orang Melayu nak bela Raja-Raja?..Syabas Pasir Mas," katanya.

Ketika ini sebahagian besar ahli parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar Dewan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu kemudian meneruskan perbahasan tanpa gangguan.

Terdahulu, sebelum kekecohan itu Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju dengan hasrat Pengerusi DAP Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak perlu.

Beliau juga menyelar Anwar kerana menuduh BN mengugut dan menculik wakil rakyat PKR di Perak yang sudah lompat jadi wakil rakyat Bebas.

"Mereka tak ingatkah mereka kejar Ahli Parlimen BN sampai ke Taiwan kerana mahu 30 orang lompat ikut mereka," kata Ibrahim.

Menurut Ibrahim, kerana beliau wakil rakyat Bebas, pembangkang tidak kejarnya.

"Tapi kalau mereka dapat 29 orang, mereka kena kejar saya. Tapi bagi saya, ini boleh kalau dia (Anwar) jadi timbalan dan saya Perdana Menteri," katanya berseloroh.

Apapun selepas selesai membahaskan usul berkenaan, Ibrahim menerima ucapan tahniah daripada beberapa penyokong kerajaan kerana ketegasannya di Dewan malah, 'chief' Parlimen, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz juga berkata kepada Ibrahim ,"Inilah wira,".- Agendadaily 19/2/2009

Sunday, February 15, 2009

Anwar perlu minta maaf

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengecam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersikap lepas tangan dalam insiden kekacauan politik di Perak.

Mereka mahukan Anwar memohon maaf kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan seluruh rakyat Malaysia kerana beliau adalah dalang sebenar yang mencetuskan penentangan terhadap institusi raja secara terbuka.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail berkata, kekalutan politik di Perak sebenarnya berpunca daripada projek 16 September yang dilancarkan oleh Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kaedah lompat parti.

Katanya, apabila keadaan berlaku sebaliknya di Perak, Anwar dilihat gagal memberikan nasihat kepada pemimpin kerajaan pakatan pembangkang negeri itu supaya berundur secara terhormat.

“Sewaktu kekalutan berlaku, kelibat Anwar kelihatan di beberapa majlis bersama pemimpin pakatan pembangkang Perak, kenapa dia tidak memberikan nasihat yang sewajarnya supaya mereka berundur secara terhormat.

“Kegagalan itu menyebabkan Anwar dilihat umpama dalang sebenar kepada kekecohan yang berlaku sehingga mendorong sekumpulan penyokongnya merusuh di Kuala Kangsar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hilmi berkata, kejadian rusuhan di Kuala Kangsar juga mirip dengan tindak tanduk Anwar yang sememangnya sinonim dengan demonstrasi jalanan pada tahun 70-an sehinggalah era reformasi 1998.

“Anwar perlu bertanggungjawab dan tidak terkecuali untuk memohon maaf dengan apa yang berlaku,” tegasnya.

Beliau mengulas kekecohan politik di Perak yang terus berlarutan berikutan perubahan kerajaan negeri ekoran tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang keluar parti manakala seorang lagi menyertai semula UMNO.

Bagaimanapun, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun telah dititahkan oleh Sultan Perak untuk berbuat demikian.

Pakatan pembangkang akan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir manakala Pengerusi DAP, Karpal Singh bercadang menyaman Sultan Perak.

Keadaan itu telah mencetuskan suasana tidak tenteram berikutan bantahan orang ramai di seluruh negara terhadap sikap para pemimpin pakatan pembangkang yang dianggap menderhaka kepada Sultan Perak.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, dakwaan bahawa Anwar adalah dalang kekecohan di Perak telah disahkan oleh Karpal baru-baru ini.

Katanya, Karpal juga meminta Anwar supaya bertaubat kerana telah mempromosikan politik lompat parti untuk mencapai cita-cita politik.

“Sebenarnya Anwar mahu ‘cuci tangan’, sebab itu dia elak untuk bersetuju dengan Karpal dalam kes menyaman Sultan Azlan Shah.

“Selama ini saya banyak tidak bersetuju dengan Karpal, namun kali ini saya terpaksa bersetuju dengan beliau bahawa Anwar adalah punca segala-galanya,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menjelaskan pandangan beliau terhadap Anwar bukannya didorong oleh sentimen emosi sebaliknya ia berasaskan penilaian akademik.

Katanya, sebagai Ketua Pembangkang, Anwar tidak boleh lepas tangan dalam isu berkaitan kestabilan negara.

“Itu tanggungjawab dia sebagai ketua pakatan pembangkang, saya harap rakyat juga membuat penilaian yang jujur secara akademik mengenai tindak tanduk Anwar itu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, Anwar perlu mengambil iktibar bahawa tindakan beliau telah menyebabkan hubungan antara orang Melayu dan kaum lain menjadi tegang.

Katanya, Anwar perlu menyedari bahawa politik songsang yang menjadi amalan beliau tidak membawa sebarang erti sebaliknya akan memusnahkan karier politiknya satu masa kelak.

“Apa yang berlaku di Perak adalah ketentuan Allah, kita harap beliau menerimanya dengan lapang dada bahawa apa yang kita rancang tidak semestinya menjadi kenyataan.

“Anwar tidak akan rugi apa-apa jika beliau memberi nasihat kepada orang Melayu dalam pakatan pembangkang supaya bermuhasabah dengan apa yang berlaku demi meredakan keadaan sekarang,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Saturday, February 14, 2009

Perkasa persoal kerajaan bebaskan Karpal

KOTA BHARU 13 Feb. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoalkan kerajaan kerana gagal bertindak terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh sehingga rakyat berasa muak dan mengambil tindakan sendiri.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kerajaan tidak harus menunggu terlalu lama untuk berbuat demikian dan membiarkan kemarahan rakyat memuncak sehingga tidak boleh dikawal lagi.

Beliau berkata, Karpal sepatutnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau dituduh di bawah Akta Hasutan di mahkamah bagi meredakan kemarahan rakyat.

“Kerajaan seharusnya menahan Karpal di bawah ISA untuk siasatan selama 60 hari, sekiranya tidak ada kes, beliau boleh dibebaskan.

‘‘Sekiranya kerajaan keberatan untuk menahan di bawah akta itu, dia boleh dituduh di bawah Akta Hasutan dan biar mahkamah yang putuskan sama ada dia bersalah atau tidak,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Monday, February 9, 2009

Tiada kaitan kerajaan Islam

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Penyokong Pas tidak sepatutnya mengaitkan kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Perak dengan tumbangnya sebuah kerajaan Islam di negeri itu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kerajaan campuran yang dibentuk sebelum ini sebenarnya dikuasai oleh DAP dan pelantikan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, hanya sebagai boneka semata-mata.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Sunday, February 8, 2009

Jangan hina Raja Melayu

Sebagai seorang Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. – DR. MAHATHIR MOHAMAD (Bekas Perdana Menteri)

Tindakan mahu menyaman Sultan Perak adalah suatu langkah yang tidak bijaksana, berbaur politik, agenda pakatan pembangkang dan tidak menghormati hak raja di dalam Perlembagaan. Ia adalah amat memalukan, raja perlu dihormati. – MUHYIDDIN YASSIN (Naib Presiden UMNO)

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, institusi raja dilibatkan begitu agresif sehingga ke peringkat perundangan hanya akibat daripada kekecewaan politik segelintir pihak. – DR. AHMAD ZAHID HAMIDI (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Seolah-olah kita (orang Melayu) jadi patung wayang kulit, Karpal Singh pula menjadi `tok dalang’, manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengadu domba. – JAMALUDIN YUSOF (Presiden Pekida)

Tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan. Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu tidak akan berdiam diri. – IBRAHIM ALI (Presiden Perkasa)

Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu. Tindakan mereka membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat. – FERIZ OMAR (Presiden Prowaris)

- Utusan Malaysia

'Melayu Perak bukan patung wayang kulit'

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Pengerusi DAP Karpal Singh dan pemimpin pakatan pembangkang hari ini diberi amaran keras supaya berhenti memperlekehkan Raja-raja Melayu dan jangan menjadikan Melayu Perak patung wayang kulit.

Orang Melayu di negeri itu juga diingatkan supaya tidak lagi membiarkan diri mereka diperkudakan untuk menyanggah institusi beraja yang merupakan 'urat nadi' orang Melayu selama ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu memberi amaran tersebut ekoran sikap biadap pemimpin pakatan pembangkang sewenang-wenangnya 'memijak' Raja-raja Melayu ekoran keengganan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, tindakan Karpal dan sekutunya yang melakukan provokasi termasuk menyaman Sultan Perak sebenarnya adalah satu bentuk penghinaan amat dahsyat kepada orang Melayu.

Tegas beliau, pihaknya melihat penderhakaan secara terang-terangan terhadap Sultan Azlan Shah sebagai malapetaka terhadap kaum Melayu.

Lebih menyedihkan, katanya, orang Melayu yang berjubah dan berserban telah dihasut untuk berdemonstrasi menentang titah baginda.

"Seolah-olah orang Melayu menjadi patung wayang kulit, Karpal pula menjadi 'tok dalang', manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak mengadu domba," ujar beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan liar penyokong pakatan pembangkang yang merusuh di perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat semalam untuk menghalang pelantikan Menteri Besar baru daripada Barisan Nasional (BN) yang diperkenan oleh Sultan Azlan.

Terdapat antara mereka yang berdemonstrasi itu bertindak berbaring di atas jalan raya bagi menghalang kenderaan rasmi Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selain menghamburkan kata-kata kesat.

Hampir keseluruhan mereka yang menyertai perhimpunan haram untuk mempertahankan kerajaan pakatan pembangkang yang didominasi oleh parti DAP itu terdiri daripada orang Melayu.

Menurut Jamaludin, Pekida berpendapat, Pengerusi DAP itu mungkin mempunyai motif lain untuk menimbulkan kekacauan dan menarik perhatian masyarakat dunia bahawa Sultan Azlan adalah seorang raja yang berat sebelah.

Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula berkata, tindakan biadap Karpal mahu mengemukakan saman terhadap Sultan Azlan Shah dikhuatiri boleh menanam perasaan benci terhadap institusi beraja.

Presiden Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) dan Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan itu menegaskan, tindakan DAP itu seolah-olah menggambarkan Sultan Perak membelakangkan peruntukan undang-undang.

"Dalam hal ini, saya mengingatkan pemimpin pembangkang terutama Anwar, Karpal dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar bertindak secara profesional dan menerima hakikat kegagalan mereka memerintah negeri ini," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Hilmi berkata, GMP telah membuat laporan di Balai Polis Sea Park, Ipoh, semalam kerana perbuatan Karpal itu dilihat sebagai ugutan bagi menghalang Sultan Perak melaksanakan bidang kuasa di bawah peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Menurutnya, tindakan saman itu jika dibiarkan sudah pasti akan mengakibatkan kaum Melayu bangkit membuat bantahan keras.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, menyifatkan tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan perasaan orang Melayu.

''Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu sudah semestinya tidak akan berdiam diri melihat keadaan tersebut,'' katanya.

Ibrahim meminta Karpal Singh agar jangan bersikap emosional secara membabi-buta memandangkan negara ini merupakan sebuah kerajaan raja berperlembagaan.

''Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, jika beliau masih berdegil dengan tindakannya, lihatlah nanti bagaimana orang Melayu akan bersatu serta bangun menentangnya,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Generasi Profesional Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar menyifatkan cadangan saman itu merupakan strategi Anwar dalam menggunakan Karpal sebagai wakil pembangkang.

Katanya, Anwar mungkin berasa masih perlu 'bersembunyi' dan tidak mendedahkan diri sebagai dalang dalam cadangan saman itu.

"Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu.

"Tindakan mereka berdua membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat," ujarnya.

Justeru, tegas Feriz, kerajaan perlu menggunakan badan perisikan yang ada untuk membuktikan peranan Anwar dalam pelbagai isu yang memporak-perandakan keamanan negara.