Wednesday, October 22, 2008

Kini PERKASA untuk Melayu

Kalau orang Cina ada Dong Jiao Zong, Hindraf untuk orang India… kini PERKASA untuk Melayu

Sebelum ada pihak memperleceh usahanya, Datuk Ibrahim Ali awal-awal lagi beri kata dua mengenai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang baru ditubuhkan serta diketuai beliau.

Katanya, PERKASA yang akan memperjuangan hak orang Melayu dan pribumi negara ini bukan retorik politik dan beliau bersedia dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekiranya pertubuhan itu dilihat boleh mencetuskan kebimbangan kaum lain.

“Sudah ada banyak dan macam-macam NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Melayu…tetapi ini (PERKASA) bukan retorik politik dan saya sudah sedia kena ISA,” kata Ahli Parlimen bebas Pasir Mas itu.

Bercakap kepada media selepas pelancaran laman web PERKASA oleh Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Bharu Kuala Lumpur, Selasa, Ibrahim macam tidak hairan lagi soal ISA jika kewujudan pertubuhan itu dilihat seperti mahu mengekang kegiatan Hindraf.

“Saya dah dua kali kena ISA. Kena lagi dapat Phd lah,” katanya.

Menurut Ibrahim, PERKASA akan menjadi payung kepada pelbagai NGO Melayu bagi memperjuangkan hak serta kepentingan Melayu dan pribumi di negara ini termasuk kaum di Sabah dan Sarawak.

Sebab lain ujudnya pertubuhan itu katanya kerana ada pertubuhan Dong Jiao Zong dalam masyarakat Cina manakala Hindraf dalam India dan kini PERKASA untuk Melayu.

“Apa salahnya,” tanya beliau.

Katanya, PERKASA bukan hendak bersaing dengan kaum-kaum lain tetapi bertujuan mempertahan apa yang ada dalam Perlembangaan terutama Fasal 15.2 dan 15,3.

Menurut beliau, pertubuhan itu terbuka kepada semua orang Melayu dan pribumi berusia 18 tahun ke atas serta melampaui idealogi.

“Kalau kita gerak bawah parti susah. Biarlah dengan NGO. UMNO, PAS dan saya (Bebas) boleh sama-sama berjuang untuk kepentingan Melayu. Masa pilihan raya, tak apalah kita berlawan tapi demi Melayu, kita mesti bersatu,” katanya.

PERKASA katanya, akan memperkasakan Islam, Melayu, Raja-Raja, hak istimewa orang Melayu dan perpaduan kaum.

Tagline pertubuhan itu antaranya adalah ‘perpaduan pribumi tunggak perpaduan negara’.

“Kita juga akan bergerak dengan berhemah, bijaksana dan berdisplin,” tegasnya.

PERKASA kini sudah mempunyai lebih 2,000 ahli termasuk golongan profesional, pertubuhan silat dan angkanya dijangka bertambah dengan pelancaran laman webnya yang boleh dilayari melalui http://pribumiperkasa.org/.

Pada sidang media itu Ibrahim menolak cakap-cakap bahawa PERKASA diasaskan oleh pemimpin yang kecewa dan gagal dalam perjuangan politik.

Malah timbalan beliau, Datuk Fuad Hassan yang hadir sama mencelah, beliau tidak gagal dalam politik malah terpilih dalam mesyuarat pewakilan UMNO Bahagian Gombak baru-baru ini.

Menurut Ibrahim, pertubuhan itu sedang menunggu perkenan Yang diPertua Agung untuk menghadap bagi menyembah watikah taat setia menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Otober lalu.

Pelancaran rasmi PESAKA dijangka dibuat tidak lama lagi dan antara aktivitinya kelak menganjurkan seminar, bengkel sarta forum berkaitan kepentingan orang Melayu.

Lebih menarik, pejuang Melayu, Tun Ibrahim, 86, ketika melancarkan laman web itu berpesan ‘ Bersatulah Melayu’. Dan pekikan Hidup Melayu menghangatkan majlis dihadiri lebih 200 tetamu termasuk pemimpin NGO serta ahli parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz dan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn.- Agendadaily 21/10/2008

No comments:

Post a Comment