Sunday, October 26, 2008

Perkasa mahu hak keistimewaan Melayu kekal

KOTA BHARU 25 Okt. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati terhadap cadangan untuk menghapuskan secara beransur-ansur elemen Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikhuatiri akan menjejaskan hak keistimewaan Melayu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, hak keistimewaan Melayu yang terkandung dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan adalah hak premium Melayu yang tetap tidak boleh disentuh walau dengan apa cara sekalipun.

"Meskipun alasan Melayu sudah mempunyai keyakinan diri bagi membolehkan unsur-unsur DEB dihapuskan, Perkasa tetap berpendirian bahawa Fasal 153 itu tidak boleh disentuh dan diusik serta tidak boleh ditolak ansur.

"Jika ia turut disentuh dan dilibatkan maka tindakan ini merupakan satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu. Saya nak ingatkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berhati-hati," katanya.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian ketika menghubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini untuk mengulas laporan Bernama yang memetik Najib sebagai berkata, unsur-unsur DEB, yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment