Sunday, February 8, 2009

'Melayu Perak bukan patung wayang kulit'

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Pengerusi DAP Karpal Singh dan pemimpin pakatan pembangkang hari ini diberi amaran keras supaya berhenti memperlekehkan Raja-raja Melayu dan jangan menjadikan Melayu Perak patung wayang kulit.

Orang Melayu di negeri itu juga diingatkan supaya tidak lagi membiarkan diri mereka diperkudakan untuk menyanggah institusi beraja yang merupakan 'urat nadi' orang Melayu selama ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu memberi amaran tersebut ekoran sikap biadap pemimpin pakatan pembangkang sewenang-wenangnya 'memijak' Raja-raja Melayu ekoran keengganan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, tindakan Karpal dan sekutunya yang melakukan provokasi termasuk menyaman Sultan Perak sebenarnya adalah satu bentuk penghinaan amat dahsyat kepada orang Melayu.

Tegas beliau, pihaknya melihat penderhakaan secara terang-terangan terhadap Sultan Azlan Shah sebagai malapetaka terhadap kaum Melayu.

Lebih menyedihkan, katanya, orang Melayu yang berjubah dan berserban telah dihasut untuk berdemonstrasi menentang titah baginda.

"Seolah-olah orang Melayu menjadi patung wayang kulit, Karpal pula menjadi 'tok dalang', manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak mengadu domba," ujar beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan liar penyokong pakatan pembangkang yang merusuh di perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat semalam untuk menghalang pelantikan Menteri Besar baru daripada Barisan Nasional (BN) yang diperkenan oleh Sultan Azlan.

Terdapat antara mereka yang berdemonstrasi itu bertindak berbaring di atas jalan raya bagi menghalang kenderaan rasmi Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selain menghamburkan kata-kata kesat.

Hampir keseluruhan mereka yang menyertai perhimpunan haram untuk mempertahankan kerajaan pakatan pembangkang yang didominasi oleh parti DAP itu terdiri daripada orang Melayu.

Menurut Jamaludin, Pekida berpendapat, Pengerusi DAP itu mungkin mempunyai motif lain untuk menimbulkan kekacauan dan menarik perhatian masyarakat dunia bahawa Sultan Azlan adalah seorang raja yang berat sebelah.

Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula berkata, tindakan biadap Karpal mahu mengemukakan saman terhadap Sultan Azlan Shah dikhuatiri boleh menanam perasaan benci terhadap institusi beraja.

Presiden Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) dan Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan itu menegaskan, tindakan DAP itu seolah-olah menggambarkan Sultan Perak membelakangkan peruntukan undang-undang.

"Dalam hal ini, saya mengingatkan pemimpin pembangkang terutama Anwar, Karpal dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar bertindak secara profesional dan menerima hakikat kegagalan mereka memerintah negeri ini," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Hilmi berkata, GMP telah membuat laporan di Balai Polis Sea Park, Ipoh, semalam kerana perbuatan Karpal itu dilihat sebagai ugutan bagi menghalang Sultan Perak melaksanakan bidang kuasa di bawah peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Menurutnya, tindakan saman itu jika dibiarkan sudah pasti akan mengakibatkan kaum Melayu bangkit membuat bantahan keras.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, menyifatkan tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan perasaan orang Melayu.

''Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu sudah semestinya tidak akan berdiam diri melihat keadaan tersebut,'' katanya.

Ibrahim meminta Karpal Singh agar jangan bersikap emosional secara membabi-buta memandangkan negara ini merupakan sebuah kerajaan raja berperlembagaan.

''Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, jika beliau masih berdegil dengan tindakannya, lihatlah nanti bagaimana orang Melayu akan bersatu serta bangun menentangnya,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Generasi Profesional Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar menyifatkan cadangan saman itu merupakan strategi Anwar dalam menggunakan Karpal sebagai wakil pembangkang.

Katanya, Anwar mungkin berasa masih perlu 'bersembunyi' dan tidak mendedahkan diri sebagai dalang dalam cadangan saman itu.

"Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu.

"Tindakan mereka berdua membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat," ujarnya.

Justeru, tegas Feriz, kerajaan perlu menggunakan badan perisikan yang ada untuk membuktikan peranan Anwar dalam pelbagai isu yang memporak-perandakan keamanan negara.

No comments:

Post a Comment