Tuesday, December 9, 2008

Setuju rakyat, Parlimen putuskan soal kekebalan Raja

Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik bersetuju bahawa rakyat dan Parlimen adalah pihak yang berhak membuat keputusan sama ada perlu mengembalikan kekebalan raja seperti sedia kala atau dengan bersyarat.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda semula bagi mengembalikan kuasa raja-raja dalam memperkenankan sesuatu rang undang-undang di Parlimen.

Menurut beliau, ia sebagai langkah untuk memastikan kekebalan raja-raja Melayu kekal dan orang Melayu lebih yakin serta percaya bahawa institusi beraja di negara ini masih relevan.

“Perkasa menggesa Perkara 66 yang memasukkan Fasal 4A dipinda semula. Ini penting dalam masa kita bercakap soal ketuanan Melayu dan agama Islam yang tidak boleh diusik, mengembalikan kuasa raja-raja itu akan lebih meyakinkan orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya sama ada beliau akan mencadangkan untuk membawa usul mengenai perkara itu di Parlimen kelak, Ibrahim berkata, beliau akan menyokong sepenuhnya apabila ada parti politik berbuat demikian.

“Saya rasa ini bukan untuk kepentingan orang Melayu sahaja tetapi untuk mewujudkan satu situasi yang mampu mengekalkan kesejahteraan kepelbagaian kaum di negara ini,” katanya.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa rakyat dan Parlimen adalah pihak yang sebaik-baiknya membuat keputusan bagi mengembalikan kekebalan kepada raja-raja.

Baginda bertitah, mungkin kekebalan dengan syarat tertentu lebih sesuai diperkenalkan khususnya berkaitan dengan kuasa untuk bercakap supaya tiada pihak yang akan membawa raja- raja ke mahkamah atas apa yang dititahkan.

Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pula berkata, pandangan Sultan Selangor yang menyerahkan kepada rakyat dan Parlimen untuk memutuskan soal pengembalian kekebalan raja-raja adalah tepat.

Beliau berkata, terpulang kepada rakyat dan Parlimen untuk mengambil tindakan jika didapati perlu dikembalikan kekebalan kepada raja-raja.

Bagaimanapun, secara peribadinya, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berharap pindaan Perlembagaan yang baru dilaksanakan itu kekal kerana belum ada keperluan mendadak bagi mengembalikan kekebalan tersebut.

‘‘Dengan cara ini akan dapat memastikan tanggungjawab itu dilaksanakan sebaik-baiknya bersama-sama,” katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamed pula berkata, soal itu perlu diperhalusi semula dan selagi tiada kaitan jenayah, raja-raja perlu dikembalikan kekebalan sesuai dengan fungsinya sebagai payung negara.

‘‘Saya tidak nampak raja-raja akan salah guna kelebihan tersebut memandangkan ada Majlis Raja-Raja yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai pihak yang akan mengimbangi kekebalan tersebut,’’ katanya.

Pada perkembangan sama, Ahli Jawatankuasa Gapena, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berpendapat, adalah elok kekebalan raja-raja Melayu dikaji semula untuk dikembalikan memandangkan institusi itu menjadi pengimbang kepada kerajaan yang dipilih rakyat.

“Jika tiada kuasa raja, kerajaan mungkin akan menjadi terlalu kuat seperti apa yang berlaku di Thailand. Jadi mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu adalah wajar.

No comments:

Post a Comment