Friday, January 16, 2009

Minta pajakan tanah 999 tahun

Oleh ZAINI RABAN

IPOH 15 Jan. - Kerajaan negeri Perak digesa supaya mengurniakan tanah pajakan 999 tahun kepada semua penduduk terutamanya orang Melayu sebagaimana yang diperoleh penduduk kampung baru dan rancangan perkampungan tersusun (RPT).

Pengasas Generasi Profesional dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Nonee Ashirin Mohd. Radzi berkata, langkah itu perlu bagi memastikan hak semua kaum khasnya orang Melayu tidak tergadai.

''Kita jangan terpedaya dengan mainan politik kerajaan negeri. Jika orang Melayu berasa hak mereka akan tergadai kerana tidak dapat hak milik kekal atau pajakan sehingga 999 tahun maka mereka mesti bertindak dan menuntut perkara yang sama daripada kerajaan negeri.

''Jika benar langkah kerajaan negeri memberi hak milik kekal itu mengikut undang-undang maka orang Melayu kena pandai jangan sampai terlepas peluang, kalau tidak maruah bangsa kita akan tergadai malah tidak ada tanah satu hari nanti," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas isu pemberian tanah hak milik kekal kepada 11 penduduk kampung baru di Kuala Rui, Gerik walaupun kerajaan negeri diarah menangguhkannya sehingga Majlis Tanah Negara (MTN) membuat keputusan.

Ekoran itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa supaya orang Melayu di Perak yang mempunyai tanah berstatus pajakan 99 tahun agar menuntut kepada kerajaan negeri untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka untuk 999 tahun.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu wajar dilakukan seperti mana pengurniaan hak milik kekal oleh kerajaan kepada penduduk kampung baru.

Sementara itu, bekas ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Ramly Zahary berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengamalkan sistem pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua penduduk di negeri ini dan tidak memilih pihak tertentu dalam isu pemberian tanah hak milik kekal.

Katanya, semua rakyat Perak seramai 2.4 juta orang juga mempunyai hak yang sama dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

''Ini adalah kesan daripada kedegilan dan keingkaran kerajaan campuran negeri terhadap arahan MTN yang mahu pemberian tanah hak milik kekal ditangguh dahulu.

''Kerajaan negeri sangat yakin tindakan mereka itu betul dan tidak melanggar undang-undang maka sekarang kenalah mereka beri penjelasan kenapa penduduk lain tidak dapat hak milik kekal," katanya.

Ramly berkata, tindakan kerajaan negeri itu juga sebenarnya bakal mengundang padah lebih besar sekiranya geran hak milik kekal yang telah diberi kepada penduduk kampung baru itu tidak diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, apabila keadaan itu berlaku status tanah di kawasan kampung baru boleh dianggap sebagai kawasan setinggan kerana menduduki tanah kerajaan.

Beliau berkata, ini kerana 'keadaan istimewa' seperti mana yang terkandung di dalam Kanun Tanah Negara (KTN) langsung tidak membabitkan pemberian tanah kepada penduduk kampung baru atau RPT.

''Jika perkara itu berlaku (status setinggan) barulah kerajaan negeri tahu kesan daripada perbuatan tidak bertanggungjawab mereka itu yang selama ini dibuat demi kepentingan politik mereka sahaja.

''Sebab itu kelulusan hak milik kekal ini mesti mendapat persetujuan MTN dan Kerajaan Persekutuan supaya ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negara," katanya.

Seorang lagi bekas exco kerajaan negeri, Datuk Mohd. Radzi Manan berkata, Kerajaan Persekutuan perlu membuat satu ketetapan yang jelas sama dalam isu ini kerana tindakan kerajaan negeri sekarang adalah diluar keputusan MTN.

Kata beliau, buat masa ini hanya negeri Perak yang melaksanakan tindakan berkenaan manakala negeri-negeri lain tidak mengikut jejak langkah tersebut.

''Kerajaan negeri kata kelulusan itu diberi kerana 'keadaan istimewa' tetapi kalau kita fikir balik apa istimewanya kampung baru itu.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment