KUALA LUMPUR 16 Nov. - Konsep kontrak sosial tidak boleh dilihat dari sudut tolak ansur antara kaum sahaja kerana itu adalah pandangan yang sempit dan boleh dipertikaikan.
Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, konsep tersebut perlu dilihat dari segi 'pemikiran politik' yang ada kaitan dengan sejarah dan akar umbi kewujudan Perlembagaan negara.
Maksud kontrak sosial, katanya, memberi pengertian tertentu terutama hubungan antara negara dan rakyat serta tiada kena-mengena dengan hubungan antara kaum.
"Tetapi di Malaysia, nampaknya perkataan itu memberi pengertian berlainan. Ada yang kata ia ada kaitan dengan tolak ansur dalam perundingan kemerdekaan negara pada 1956 dan 1957 antara kaum Melayu, Cina dan India.
"Nampaknya ramai orang juga sudah mengenal perkataan kontrak sosial. Masih ada juga keraguan atau perbezaan dari segi ertinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Hak-Hak Pribumi Dalam Perundangan dan Perlembagaan Negara pada Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-Hak Pribumi Dalam Perlembagaan di sini hari ini.
Program tersebut yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), dirasmikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Abd. Aziz berkata, justeru adalah penting bagi masyarakat umum yang sudah menerima konsep kontrak sosial tanpa memahami erti sebenar, untuk mengenal inti pati kandungan Perlembagaan negara.
"Walau apapun yang difahami tentang konsep kontrak sosial, yang penting ialah isi kandungan peruntukan Perlembagaan itu yang telah wujud lebih daripada 50 tahun.
"Semua pihak hendaklah menghormati segala peruntukan itu dan tidak mempertikaikannya," ujarnya.
Katanya, amat menyedihkan apabila ada pihak tertentu yang berpendapat sudah sampai masanya Perlembagaan negara dikaji semula, khususnya peruntukan yang memihak kepada satu bangsa atau agama serta yang bercanggah dengan hak asasi manusia.
Menurutnya, pihak-pihak ini cuba mengunakan konsep kontrak sosial dan berhujah kaum Melayu, Cina dan India telah berunding untuk kemerdekaan dan kandungan Perlembagaan adalah hasil tolak ansur antara kaum itu yang merupakan kontrak sosial.
"Mereka berhujah hak istimewa orang Melayu dalam kontrak sosial adalah untuk sementara sahaja. Pendapat, sikap dan tindakan mereka ini tidak sihat dan beralaskan fahaman yang salah daripada segi fakta dan sejarah,'' ujarnya.
Beliau berkata, adalah lebih baik jika mereka ini mengambil kira fakta sejarah yang benar kerana konsep kontrak sosial mempunyai pelbagai erti dan tidak relevan dalam hal mentafsir kandungan Perlembagaan semata-mata.
Sumber: Utusan Malaysia
PANDANGAN IKHLAS & BENAR
10 years ago
No comments:
Post a Comment