Walaupun hanya setengah hari tetapi Wacana Isu Perundangan dan Hak-Hak Pribumi Dalam Perlembagaan yang dianjurkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia tetap panas.
Mujurlah bilangan jemputan dan hadirin cukup-cukup muat dalam dewan di Memorial Tun Hussein Onn tempat berlangsungkan wacana yang memperkatakan tentang bagaimana Melayu kini dilemahkan dan bagaimanapun Melayu harus bangkit semula.
Jika kata-kata hikmat Laksamana Hang Tuah ‘Melayu tak akan hilang di dunia’ dan beberapa kali disebut dalam majlis itu, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pula ada ungkapan lain lebih tersirat maknanya.
“Hang Tuah kata Melayu tak akan hilang di dunia tetapi sebenarnya bagi saya, Melayu akan hilang dunianya,” ujar Ibrahim merujuk bagaimana orang Melayu kini berdepan zaman penghinaan, hilang maruah serta mudah diaibkan kaum lain.
Sebab itu katanya, inilah masa untuk mengarap keris yang tumpul.
“Tak perlu ramai tetapi semangat dan keberanian yang pernah ditunjukkan pahlawan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Mat Salleh dan Rosli Dhoby perlu terus mengalir dalam jiwa orang Melayu…inilah masanya kita bangkit bagi mempertahan hak-hak pribumi terutama yang ada dalam perlembangaan,” ujarnya menutup wacana tersebut.
Mustahil majlis itu tidak panas jika ucaptamanya disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Presiden Persatuan Peguam Muslim, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abd Rahman.
Turut membakar semangat lebih 150 jemputan di wacana itu, peguam Zainur Zakaria dan Abdul Halim Abdullah serta Prof Dr, Shaik Mohamad Nor Alam dari Universiti Putra Malaysia serta di pengerusikan Datuk Ruhanie Ahmad.
Antara tajuk kertas dibentangkan adalah Isu Hak-hak Pribumi dan Perlembagaan, Perlembagaan sebagai struktur asas dalam tadbir urus negara bangsa.
Majlis itu berakhir dengan perisytiharan PERKASA 18 Dzulkaedah 1429/16 November 2008.
Ibrahim ketika ditemui Agendadaily seusai majlis itu berkata, lima asas yang dihasilkan melalui wacana itu akan menjadi keutamaan PERKASA bagi memperjuangkan hak-hak orang Melayu dalam tempoh terdekat.
Katanya, perkara-perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi perlu diperingatkan supaya ianya sentiasa jelas kepada pihak yang mempertikai hak orang Melayu di negara ini.
Lima perkara itu termasuk Perkara 66 mengenai kuasa Raja-Raja Melayu yang mesti dikekalkan dan bukannya dipinda dan diluluskan jika ada antara sultan tindak menandatanganinya.
“Perkara 153 mengenai kuasa Yang di Pertuan Agong merezabkan sebahagian jawatan dalam perkhidmatan awam, pemberian lesen, permit, biasiswa atau bantuan tidak boleh dinafikan sewenang-wenangnya,” katanya.
Menurut ahli parlimen bebas Pasir Mas itu, fungsi Mahkamah Syariah di bawah 121 (1A) yang berkuasa menetapkan perkara-perkara berkaitan hal ehwal agama Islam juga mesti kekal di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Perkara lain yang turut difokuskan adalah akta menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa ilmu dan bukan diubah sesuka hati seperti kerajaan Pulau Pinang menamakan nama jalan dalam pelbagai bahasa,” ujarnya.
Beliau juga mencadangkan supaya bahasa Melayu terus kekal bahasa rasmi di mahkamah dan perlantikan hakim pula perlu mengambil kira mereka yang boleh berbahasa Melayu.
Perkara terakhir pula katanya, 159(5) mengenai kedudukan Tanah Rezab Melayu yang semakin banyak tergadai kerana bertukar syarat kepada projek pembangunan.
“Tanah rezab Melayu akan hilang sedikit demi sedikit kerana pengambilannya tidak diganti semula sedangkan kanun tanah memperuntukkan sebarang pengambilan tanah ini perlu diganti semula…tetapi ini jarang berlaku,”
“Perkara ini tidak boleh dipinda atau dibiarkan begitu sahaja. Saya difahamkan sudah banyak tanah rezab Melayu bertukar tangan dan tidak diganti,” katanya.
Ibrahim berkata, PERKASA juga akan meminta kerajaan memutuskan kementerian atau badan mana yang akan bertanggungjawab mengenai hal-hal atau hak-hak dalam perlembagaan ini.
“Ramai tak tahu siapa patut bertanggungjawab memaklumkan kepada umum mengenai hal-hal orang Melayu dalam perlembagaan. Tanpa ini, bukan Melayu tidak akan tahu mengenai hal yang sepatutnya diterima oleg Melayu atau pribumi di negara ini,” katanya.
Menurut Ibrahim,.satu Sidang Kemuncak Kaum Pribumi membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan diadakan tahun depan bagi membangkitkan semangat serta kebangkitan orang Melayu.
“Kita belum terlambat lagi kerana apa yang berlaku terhadap orang Melayu ketika ini akan mengisafkan serta memberi kesedaran kepada kita untuk bangkit. Jika kita ada wanita Melayu yang boleh sampai ke kemuncak Everest, tak kan kita tidak berupaya mendepani ancaman ini,” ujarnya.- Agendadaily 16/11/2008
PANDANGAN IKHLAS & BENAR
10 years ago
No comments:
Post a Comment