Monday, November 17, 2008

Perkasa bela hak Melayu

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggariskan lima perkara dalam Perlembagaan negara yang akan menjadi agenda pertubuhan itu untuk diberi perhatian dan diperbincangkan bagi membela hak Melayu dan pribumi dari semasa ke semasa.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkasa juga akan terus lantang mempersoalkan isu-isu berkaitan perkara-perkara penting dalam Perlembagaan bagi menjamin hak kaum tersebut terus terjaga.

“Masih belum terlambat untuk kita bangkit memperjuangkan hak kita yang sudah termaktub. Saya penuh yakin dan bersemangat untuk ini,” tegasnya semasa membacakan resolusi Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Pribumi Dalam Perlembagaan di sini hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim merasmi dan menyampaikan ucaptama pada program tersebut yang turut dihadiri Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Ibrahim berkata, lima perkara yang menjadi agenda Perkasa itu ialah:

l Mencadangkan kedudukan tanah rezab Melayu dimasukkan di bawah perlindungan raja-raja Melayu melalui pindaan Perkara 159 fasal 5.

l Menyarankan supaya hal-hal berkaitan perundangan Islam yang melibatkan kuasa mahkamah syariah seperti terkandung dalam Perkara 121 (1A) diperjelas, diperkasakan terus dilindungi.

l Menuntut supaya dilaksanakan penggunaan sepenuhnya bahasa Malaysia dalam segala urusan dan kehakiman negara melalui Perkara 163 dan 167.

l Menggesa pihak kerajaan supaya sentiasa memandang serius serta memperkasa hak-hak orang Melayu dan pribumi seperti yang terkandung dalam Perkara 153.

l Memastikan Perkara 66 iaitu yang berkaitan kuasa raja-raja Melayu kekal mutlak dan tidak dipertikaikan.

Ibrahim berkata, Perkasa juga akan terus memberi perhatian kepada perkara-perkara penting lain yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

Menurutnya, lima agenda tersebut akan terus dibincangkan pada satu sidang kemuncak mengenai hak-hak orang Melayu dan pribumi yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, penganjuran sidang kemuncak itu masih dalam perbincangan namun ia akan menjadi satu lagi platform untuk orang Melayu dan pribumi memperkasakan hak bangsa mereka.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment