Friday, November 21, 2008

Semua sokong titah Raja Nazrin

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Pelbagai pihak hari ini menyokong penuh titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah supaya masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat perlu berpegang kepada pepatah 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Menurut mereka, komuniti imigran perlu memberi perhatian serius berhubung perkara itu selain menghormati, menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara ini sepanjang masa.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, tidak ada sebab bagi sesetengah kaum secara lantang mempertikaikan taraf dan hak rakyat pribumi sebaliknya, perlu bersyukur kerana kepentingan dan kedudukan mereka terbela.

Menurutnya, sejarah kelahiran Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu jelas menyatakan bahawa pelbagai kaum yang asalnya adalah warga imigran tetap mendapat peluang sama rata dalam pelbagai bidang.

''Sejarah juga membuktikan bahawa warga imigran yang ada di negara ini diberikan peluang dan ruang membabitkan diri dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan, budaya, sosial dan politik,'' katanya.

Beliau mengulas peringatan daripada Raja Nazrin semalam yang menegaskan betapa pentingnya komuniti imigran di sesebuah negara menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara mereka berhijrah dan menetap sepanjang masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, asas tempat didiami adalah mewarisi sistem dan pandangan hidup yang menjadi pra-syarat bagi sesiapa sahaja yang berada di dalamnya.

Katanya, asas kenegaraan ialah mempunyai kesatuan, bahasa, patriotisme dan sistem pendidikan.

''Setiap rakyat tidak perlu mempersoalkan asas kesatuan negara dan mesti menerimanya sebagai menepati pepatah Melayu 'dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung','' jelasnya.

Pengerusi Biro Maklumat dan Komunikasi MCA, Lee Wei Kiat turut bersetuju dengan titah baginda dan menyifatkan negara akan mengalami pelbagai masalah termasuk berpecah belah dan tidak berintegrasi sekiranya pemimpin negara menggunakan dasar berat sebelah.

''Banyak contoh masyarakat majmuk yang berlatar belakang berbeza dapat mengamalkan cara hidup berintegrasi kerana kesanggupan mereka untuk memahami budaya dan adat kaum di tempat tinggal,'' ujarnya.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Sarjit Singh Gill berkata, komuniti di Malaysia semakin kompleks dengan kehadiran pelbagai warga asing dan kadangkala menimbulkan masalah seperti gejala sosial.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka dikatakan mengalami kejutan budaya apabila kebanyakan daripada adat resam dan peraturan di negara ini merupakan satu perkara yang baru buat mereka.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, penduduk imigran perlu insaf dengan keharmonian sesebuah negara supaya mereka tidak mengganggu gugat negara baru yang diduduki itu.

Katanya, orang Melayu dengan rela hati memberikan satu juta kerakyatan kepada bukan Melayu dan kaum pribumi negara ini asyik beralah sahaja dalam menangani isu-isu yang timbul.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad berkata, kegagalan untuk menghormati tradisi, sejarah dan sistem kerajaan yang wujud di sesebuah negara adalah punca yang boleh menimbulkan konflik merugikan.

Katanya, ABIM turut berpandangan bahawa kecenderungan komuniti imigran dalam urusan berkaitan kaum dan agama ini berpunca daripada sikap tidak objektif, ilmiah dan terlalu berpandukan pada sentimen emosi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, kaum imigran perlu menyesuaikan diri dengan keadaan setempat seperti kaum-kaum imigran yang berlaku di seluruh dunia kecuali Amerika Syarikat (AS), New Zealand dan Australia di mana penduduk asal telah diberikan layanan yang buruk dan kejam.

"Perkasa menyokong penuh titah Raja Nazrin Shah betapa penting kaum imigran di sesebuah negara menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara mereka berhijrah di mana terdapat penduduk asal yang majoriti ," katanya.

No comments:

Post a Comment