Thursday, October 23, 2008

Perkasa mohon bertemu Agong lebih awal

Utusan Malaysia, Okt 23 2008

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memohon untuk menyerahkan surat watikah taat setia dan sumpah ikrar kepada Yang di-Pertuan Agong seawal yang boleh, kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, penyerahan surat watikah itu adalah sebagai tanda sokongan Perkasa untuk mempertahankan apa jua yang terkandung dalam kenyataan akhbar khas Raja-raja Melayu berhubung orang Melayu, agama Islam dan Kaum Pribumi Malaysia.

''Seramai 10 pemimpin pertubuhan ini akan turut serta pada pertemuan itu,'' katanya selepas Majlis Pelancaran Laman Web dan Kempen Keahlian Perkasa di sini.

Ibrahim berkata, usaha itu adalah seiring dengan matlamat pertubuhan untuk memperkasa dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

''Berbeza dengan pertubuhan Melayu yang lain, kami menjuruskan kepada pertubuhan yang beroriantasikan tindakan dan akan mempertahankan apa saja hak orang Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata, pertubuhan itu akan lebih banyak mengambil langkah berbentuk pertemuan secara berhemah dan penuh disiplin dalam menangani isu-isu yang menggugat kedudukan orang Melayu dan pribumi termasuk Sabah dan Sarawak.

Pendaftar Pertubuhan meluluskan penubuhan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia pada 22 September lepas.

Pegawai utama Perkasa yang lain ialah Datuk Fuad Hassan (Timbalan Presiden), Datuk Shuaib Lazim (Naib Presiden), Datuk Yahya Lampong (Naib Presiden), Datuk Mokhtar Samad (Naib Presiden), Syed Hassan Syed Ali (Setiausaha), Muhammad Afiq Aziz (Penolong Setiausaha), Datuk Abdul Rahman Bakar (Bendahari) dan Datuk Ruhanie Ahmad (Ketua Penerangan).

Sementara itu, ahli kehormat Perkasa, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail menggesa orang Melayu dan bumiputera di negara ini yang berlainan fahaman politik digesa bersatu.

Beliau yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera berkata, langkah itu perlu bagi melindungi hak-hak mereka yang terkandung dalam Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment