Friday, October 17, 2008

Perkasa Sifatkan Kenyataan Akhbar Khas Raja-raja Melayu Sebagai Tegas

17 Oktober, 2008 21:53 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata kenyataan akhbar khas Raja-Raja Melayu semalam merupakan pandangan paling jelas dan tegas serta berasaskan sejarah penglibatan dan persetujuan Raja-Raja Melayu dalam kompromi perjuangan negara mencapai kemerdekaan.

Pada sidang akhbarnya di sini hari ini, Timbalan Pengerusi Penajanya Datuk Fuad Hassan berkata kenyataan itu merupakan pendirian paling tegas Raja-Raja Melayu.

"Perkasa berikrar dan bersumpah untuk berdiri teguh mempertahankan kenyataan akhbar khas itu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurutnya pertubuhan bukan kerajaan yang didaftarkan bulan lepas itu akan menyerah watikah ikrar setia dan sumpah sokongan terhadap kenyataan akhbar khas itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 22 Okt ini.

Sambil mengingatkan bahawa kestabilan yang dinikmati oleh negara lebih 50 tahun lalu adalah hasil permuafakatan kontrak sosial, Perkasa juga mahu orang Melayu dan rakyat Malaysia yang lain memainkan peranan mengekalkan kestabilan dan keamanan sebagai tanggungjawab bersama.

Fuad berkata provokasi politik dan agama serta ketidaktentuan politik negara sejak pilihan raya umum Mac lepas telah memberikan isyarat yang salah terhadap pelabur dan para pembuat keputusan dalam dan luar negara di saat tumpuan harus diberikan dalam menghadapi krisis ekonomi dunia.

Sambil menyokong penuh tindakan pengharaman ke atas Hindraf, Fuad berkata Perkasa mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu sensitif bagi kepentingan politik dan kumpulan.

"Perbincangan mengenai perkara sensitif negara haruslah dalam suasana muafakat, ilmiah dan sesuai dan oleh pakar-pakar dari kaum dan agama berbeza yang mempunyai pengetahuan mendalam terhadap sejarah pengorbanan dan tolak ansur di negara ini," katanya.

Menurutnya pandangan Perkasa adalah diluar kepartian dan matlamatnya antara lain bagi memperkasa Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, memperkasa kaum pribumi dan kedaulatan raja-raja serta mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.

Mengenai kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai hari ini yang mahu satu jawatan timbalan pengerusi Barisan Nasional untuk parti itu, Fuad mempersoalkan mengapa timbul tuntutan itu pada masa ini.

No comments:

Post a Comment