Monday, March 23, 2009

Resolusi sidang kemuncak Pribumi Negara ke Parlimen

Abdul Rahim Sabri Mar 22, 09 9:02pm
Malaysiakini.com

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meluluskan 10 resolusi dalam perhimpunan dan persidangan kemuncak Pribumi Negara yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata beliau akan membawa resolusi tersebut yang turut menyentuhkan tentang kedudukan istimewa orang Melayu, ke Parlimen esok.

Sementara itu, Ketua Penerangan Perkasa, Datuk Ruhani Ahmad (foto) membaca resolusi yang dikenali sebagai Pengisytiharan 25 Rabiul Awal 1430 / 22 Mac 2009 ini, di hadapan kira-kira 200 peserta persidangan yang hadir di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, Jalan Bangsar.

Resolusi tersebut antara lain mengulangi dan memperkukuhkan pendirian bagi mempertahankan Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja ke-215 pada 16 Oktober lalu berhubung dengan hak keistimewaan kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum yang lain mengikut perlembagaan Persekutuan".

Pertubuhan yang dianggotai oleh 66 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini turut menggesa semua pihak termasuk parti siasah dan pertubuhan bukan kerajaan agar mengakui dan menerima peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan hak-hak keistimewaan kaum Melayu dan pribumi serta kepentingan sah kaum yang lain.

Ia turut menentang sebarang pindaan pindaan yang boleh melemahkan kedaulatan dan kedudukan kaum Melayu dan pribumi dalam perundangan dan perlaksanaan.

Berhubung resolusi yang berkaitan pendidikan, Perkasa turut menggesa semua pihak agar menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa kebangsaan.

"(Kami) menggesa semua pihak supaya menghormati semangat Perlembagaan yang mendasari dan menjadi paksi kepada kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak melakukan sesuatu tindakan yang secara langsung atau tidak langsung menjejas dan menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dan media pengajaran dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Tolak sebarang provoksi

Sementara resolusi yang berkaitan dengan agama Islam, Perkasa mengesyorkan agar pihak berkuasa mengambil langkah untuk memperkasakan mengenai hal-hal Islam dalam Perlembagaan.

Ruhanie berkata, Perkasa menolak sebarang provokasi mana-mana pihak bagi maksud penyamaratan, pencerobohan tauhid dan gagasan pluralisme agama yang bercanggah dengan perlembagaan negara," kata Ruhani.

Selain itu, dalam resolusi hari ini, Perkasa juga mencadangkan agar kedudukan Tanah Simpanan Melayu (TSM) dimasukkan di bawah perlindungan Raja-Raja Melayu melalui pindaan kepada perkara 159 fasal 5 dan perkara 10 fasal 4.

"Ini bagi memastikan agar tidak berlaku penghakisan dan penghapusan Tanah Simpanan Melayu secara berterusan tanpasa sebarang gantian yang wajar," katanya.

Bagi resolusi berhubung ekonomi, Perkasa menggesa kerajaan pusat dan negeri menggubal langkah-langkah strategi dan inovasi serta pengawalan dan pencegahan dalam memastikan Pribumi mampu mengahadapi situasi krisis ekonomi semasa.

Di samping itu, kata Ruhanie, pencapaian hendaklah terus dipertingkatkan bagai memastikan Pribumi mampu bersaing dalam perubahan lanskap ekonomi dunia yang semakin liberal dan global.

Menurut beliau, Perkasa juga turut menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif yang telah disepakati bagi tujuan kepentingan politik dan kmpulan.

Dibawa ke Parlimen

"Adalah menjadi tanggung jawab pihak berkuasa untuk menjaga kepentingan rakyat terbanyak daripada gangguan-gangguan individu atau kumpulan yang bertindak di luar batas dan peruntukan perlembagaan negara," kata Ruhani.

Sementara itu, dalam ucapan penangguhan persidangan tersebut, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali (foto), berkata beliau akan membawa 10 resolusi ini ke Parlimen yang akan bersidang esok.

Sebelum itu, para hadirin mendengar pidato daripada wakil-wakil NGO yang menganggotai pertubuhan ini.

Turut yang mengambil bahagian ialah bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; Datuk Hashim Suboh (wakil Belia 4B), Jais Abdul Karim (wakil GPMS) dan Zainur Zakaria (peguam) dan tokoh ilmuan Islam, Datuk Ibrahim Azmi.

Mereka berpidato berhubung hak-hak dan jaminan orang Melayu di Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment